BATU PAHAT – Seramai hampir 60 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, serta latar belakang telah menyertai program Resam Seni Kaligrafi sempena Fiesta Kokurikulum Mahasiswa 2018 (FIESKOM 2018) yang diadakan pada 23 November lalu bertempat di Masjid Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Program yang bertujuan memperkenal kepelbagaian seni kaligrafi tiga negara ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung yang terdiri daripada pelajar, staf UTHM dan masyarakat setempat yang pelbagai kaum.
Program sehari anjuran mahasiswa Kursus Berkredit Tulisan Jawi dan Khat Seksyen 1, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa UTHM dan Persatuan Khat Johor ini berupaya mengeratkan jalinan tiga budaya unik kaligrafi Arab, Jepun dan China.
Pengarah Program Resam Seni Kaligrafi, Muhammad Helmi Mohd Ariff berkata penganjuran program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli penggiat seni kaligrafi bertukar pengetahuan dan pendapat antara satu sama lain.
Selain itu, program ini juga dianjurkan bagi memberi peluang kepada mahasiswa yang mengambil kursus kokurikulum Tulisan Jawi dan Khat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sekali gus berkongsi pengetahuan bersama peserta.
Menurutnya menerusi program ini mereka dapat menimba banyak pengalaman baharu melalui kemahiran komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan, pengurusan maklumat serta pembelajaran berterusan selain dapat mengaplikasi ciri keusahawanan dan kepimpinan dalam kebudayaan.
Hadir sama Penyelaras Program, Nurulisyazila Othaman; Ketua Jabatan Sukan dan Kebudayaan, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman dan Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa, Nurul Sabrina Zan.
Program Resam Seni Kaligrafi diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti pameran kaligrafi tiga budaya Arab (Islam), Jepun dan China, Pertandingan Khat Kufi dan Bengkel Khat Kufi Melalui Aplikasi oleh Sufian Kamaruddin.
Sementara itu peserta kursus Mohammad Firdaus Wahid berkata pameran kaligrafi seperti ini memberi kelainan tersendiri apabila tiga kaligrafi pelbagai negara digabung, kerana ianya bukan sekadar mempamerkan keindahan seni kaligrafi negara tersebut, malah turut memberi peluang kepada peserta mengenali teknik penulisan dan bahasa mereka.
“Banyak ilmu yang dapat dikongsi melalui program ini dan saya bersama peserta-peserta lain amat berharap program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih menarik dan bermanfaat,” katanya.