Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah turut serta membantu penganjuran Persidangan Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak yang Ke-7 yang berlangsung di Hotel Katerina, Batu Pahat pada 30 Ogos hingga 1 September lalu.
Persidangan ini merupakan satu forum untuk membincangkan, memantau dan mengkaji semula semua polisi dan tindakan yang berkaitan dengan intervensi awal kanak-kanak. Penganjurannya bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang pendidikan khas dan juga komuniti orang kurang upaya sekali gus sebagai usaha membantu mengurangkan sifat prejudis dan diskriminasi masyarakat terhadap golongan ini.
Persidangan yang disertai oleh 600 peserta yang terdiri dari ibu bapa, pendidik, doktor pakar dan wakil NGO ini melibatkan 47 penceramah tempatan dan empat penceramah antarabangsa.
Jawatankuasa tempatan bagi persidangan kali ini disertai oleh pelbagai organisasi antaranya National Early Childhood Intervention Council, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia melalui PPM, Pertubuhan Perkhidmatan Intervensi Awal (PPIA), Glory Learning Centre Johor Bahru, Kiwanis Careheart Centre Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan Datin Onn Jaafar (SMKDOJ) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO). PPM UTHM sebagai rakan kerjasama persidangan ini telah menyediakan khidmat kepakaran dari segi skop kerja teknikal, pendaftaran, media dan grafik serta sukarelawan.
Pembukaan persidangan yang telah disempurnakan oleh Ms. Mariaane Clark-Hattingh, wakil UNICEF di Malaysia ini diisi dengan 24 bengkel, 12 sesi interaksi dan tujuh forum yang membincangkan topik dan isu berkaitan intervensi awal dan inklusif.
Turut diadakan, majlis makan malam bersama kanak-kanak pendidikan khas dan kurang upaya bagi merai dan memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang kebudayaan dan kesenian.
Dua pensyarah UTHM, Dr. Mohd Azlis Sani Md Jalil dari FKMP dan Dr. Chessda Uttraphan A/L Eh Kan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah diundang sebagai panel dalam satu forum yang membincangkan tentang cabaran dan pengalaman mereka dalam menghadapi dan berurusan dengan anak-anak berkeperluan khas. Sementara itu, Ketua Program Pembangunan Mahasiswa FKMP, Mohamed Nasrul Mohamed Hatta turut terlibat sebagai moderator dalam bengkel yang berlangsung selama tiga hari tersebut.
Kemuncak persidangan ini menyaksikan satu sesi dialog bersama pengurus polisi yang terdiri daripada wakil dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membincangkan hala tuju dan masa depan pendidikan khas dan komuniti kurang upaya.
Manakala perasmian penutup pula telah disempurnakan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan yang sebelumnya turut menyatakan hasrat, minat serta kebimbangan beliau berkaitan hala tuju pendidikan khas di negara ini.
Hadir sama ke majlis penutup Profesor Madya Dr. Asri Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan, Dekan FKMP dan Profesor Madya Dr. Mohd Zamani Ngali, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).