Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 22 Februari lalu.

Kedatangan Dato’ Seri Idris ke UTHM menjadi sejarah kepada warganya apabila beliau telah menyempurnakan beberapa acara penting seperti merasmikan Kompleks Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) serta pelancaran Program Jom Kayuh UTHM dan acara Penyerahan Basikal Kepada warga UTHM.

Dalam lawatan kerja tersebut, beliau turut berbasikal bersama Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, pegawai-pegawai kanan universiti, tetamu-tetamu jemputan dan juga sekumpulan pelajar untuk meninjau beberapa kawasan sekitar UTHM. Aktiviti kayuhan tersebut bertujuan untuk melihat secara dekat tentang pencapaian UTHM di dalam pembangunan dan penyediaan kemudahan-kemudahan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Pelajar UTHM juga turut berpeluang mendekati pemimpin ini semasa sesi bersalaman yang diadakan sejurus tamat aktiviti berbasikal.

Dato’ Seri Idris dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada UTHM dengan setiap penambahbaikan terhadap pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan dan amat mengharapkan agar warganya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan. Beliau amat mengharapkan UTHM yang telah mencapai usia 20 tahun ini dapat berdiri sebaris dengan universiti-universiti utama lain untuk terus menyumbang jasa kepada masyarakat khususnya masyarakat di Batu Pahat.

Turut berlangsung di Dewan Tuanku Mahkota Ismail, acara Pelancaran Buku Baharu Terbitan Penerbit UTHM, penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2013/2014, Penyampaian Sijil Kompetensi (GE) dan Penyerahan Pencapaian Pelaksanaan Program Persediaan Diploma. Selain itu, Dato’ Seri Idris juga turut menyampaikan Anugerah Khas Pengkomersilan Produk Penyelidikan dan Inovasi UTHM dan turut menyempurnakan acara pelancaran briged Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

lawatan-menteri-uthm

Source: Menteri Pendidikan II adakan lawatan kerja ke UTHM