Kebelakangan ini, alam seolah berbicara dengan manusia. Selalunya dalam nada kecewa seperti tragedi hutan terbakar kesan peningkatan suhu, hakisan pantai kesan ketiadaan hutan bakau dan tanaman tidak menjadi kesan kehilangan kesuburan tanah. Malangnya, tragedi ini turut melibatkan kemusnahan biodiversiti. Sebaliknya, semasa penularan Covid-19, alam sekitar menyerlahkan kelegaan dan kegembiraan antaranya digambarkan dengan penampakan jelas Banjaran Himalaya dari jarak sejauh 201 kilometer, dan kehadiran ikan lumba-lumba di Selat Bosporus. Bahkan, di Malaysia, indek pencemaran udara (IPU) di beberapa tempat dilaporkan berada dalam tahap sederhana (bawah 60) dan tahap baik (bawah 50). Selain itu, beberapa sungai di Malaysia telah menjadi jernih antaranya Sungai Way, Sungai Gombak dan Sungai Kemunsing.
Sebagai menghargai kelegaan dan kegembiraan alam sekitar, maka Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (World Environmental Day) yang akan disambut pada 5 Jun 2020 perlu disertai dengan penuh komitmen oleh semua pihak di Malaysia. Tambahan pula, alam sekitar dan biodiversiti (biokepelbagaian) Malaysia antara fokus ekonomi negara. Dilaporkan antara Januari hingga Jun 2019, sejumlah RM 21.4 bilion dijana hasil kedatangan pelancong ke Malaysia, antaranya untuk tujuan menikmati eko-pelancongan. Hutan Belum di Perak, yang berusia lebih dari 130 juta tahun malah lebih tua daripada hutan Amazon adalah antara destinasi eko-pelancongan terbaik. Biodiversiti seperti rafflesia dan burung enggang antara tarikan utama. Tiga daripada 20 jenis rafflesia di dunia ada di hutan hujan tropika ini. Selain itu, di hutan ini terdapat 10 spesies burung enggang berbanding hanya lapan di Sabah dan Sarawak. Namun, aktiviti eko-pelancongan ini tidak boleh diteruskan lagi apabila alam sekitar dan biodiversiti di Malaysia terjejas teruk akibat perindustrian dan perkembangan teknologi. Persoalannya, bagaimanakah semua pihak di Malaysia boleh menjamin perkembangan dan kesan sosio ekonomi tidak merisikokan alam sekitar sekali gus memusnahkan biodiversiti?.
Hari Alam Sekitar Sedunia adalah program khas United Nation Environment Programme (UNEP) yang bertujuan mengalakkan kesedaran dan tindakan seluruh dunia terhadap alam sekitar. Bagi tahun 2020, “Time for Nature“ telah diangkat menjadi tema bagi sambutan. Biosfera, litosfera, hidrosfera, dan atmosfera adalah komponen alam sekitar dan manusia mendapatkan pelbagai sumber semulajadi melalui komponen-komponen ini demi kelangsungan hidup. Tumbuhan dan haiwan adalah biodiversiti dalam komponen biosfera. Biosfera, menyediakan habitat kepada seluruh hidupan. Terdapat pelbagai ekosistem di dalam biosfera seperti ekosistem akuatik dan ekosistem hutan. Malah, terdapat biodiversiti yang berbeza bagi setiap ekosistem ini. Sebagai contoh ekosistem akuatik dan ekosistem hutan mempunyai tumbuhan yang berbeza. Ekosistem hutan bakau boleh menghalang hakisan pantai kerana akar pokok bakau adalah pemecah ombak semulajadi. Ekosistem hutan pula adalah kawasan tadahan hujan yang sangat terkait dengan sumber air bekalan dan sumber oksigen. Litosfera mengandungi batuan,mineral dan tanah sebagai komposisi utama. Pembinaan bangunan dan jalan raya dapat dibuat dengan adanya pelbagai batuan. Pelbagai produk yang bermanfaat kepada manusia antaranya biji-bijian, sayuran dan minyak masakan diperolehi hasil aktiviti penanaman di tanah yang subur.
Walaupun dunia masih berselubung duka kesan pandemik COVID-19 dan Kerajaan Malaysia masih mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelbagai pihak di Malaysia boleh meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini dengan memainkan peranan masing-masing untuk memulihara alam sekitar sekali gus mengurangkan kemusnahan biodiversiti. Dengan komitmen semua pihak, kebiasaan baharu dalam memperkasakan pengurusan alam sekitar di Malaysia boleh diwujudkan.
Sebagai individu, kita boleh meraikan sambutan ini dengan mengunakan internet dan buku elektronik untuk mempelajari tindakan dan usaha untuk menjaga dan memelihara alam sekitar yang dijalankan oleh pihak berkuasa di kawasan kita, contohnya kerajaan atau majlis perbandaran. Kita juga boleh mempelajari bagaimana mengubah gaya hidup boleh mengekang perubahan iklim, menjaga ekosistem akuatik dan tidak mencemar alam sekitar. Tidak terhad kepada mempelajari sahaja, kita juga boleh berkongsi pengetahuan tersebut dengan orang lain. Jika kita merupakan usahawan, kita boleh membaca laporan bagaimana jenis industri yang dijalankan sekarang boleh menjejaskan alam sekitar dan biodiversiti. Selain itu, kita boleh melibatkan staf di bawah seliaan dengan mendapatkan pandangan mereka tentang bagaimana industri/perniagaan yang dijalankan tidak akan menjejaskan alam sekitar sebaliknya memulihara alam sekitar. Sebagai usahawan, kita juga boleh menyokong usaha kerajaan untuk menyumbang dana dalam projek pihak berkuasa tempatan atau kerajaan yang berteraskan pengurusan lestari alam sekitar atau pun pemuliharaan biodiversiti. Juga bersungguh dalam mematuhi keperluan dan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar.
Hakikatnya lebih ramai manusia bertumpu di kawasan bandar, menjadikan kawasan bandar lebih mudah menjejaskan alam sekitar dan biodiversiti. Sehubungan dengan itu, pentadbiran sesuatu bandar boleh meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan memperuntukan sejumlah wang secara tahunan untuk tujuan memulihara alam sekitar dan mengurangkan kemusnahan biodiversiti. Selain itu, meletakkan sasaran untuk melindungi dan mewujudkan lapangan hijau di dalam bandar yang turut dilaksanakan oleh penduduk bandar. Pihak pentadbiran bandar juga boleh berkolaborasi dengan penyelidik tempatan untuk mengenalpasti dan memulihara ekosistem-ekosistem yang terdapat di dalam bandar dan tidak ketinggalan melapor dan mengemaskini maklumat berkaitan pembangunan mapan di bandar masing-masing. Galakan kepada penduduk bandar untuk mempraktiskan amalan sihat seperti mengitar barang kitar semula, mengurangkan sisa makanan, menggunakan bekas sendiri semasa membeli belah boleh juga dibuat melalui pelbagai kempen dan pemantauan berjadual.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan kehidupan yang sejahtera kepada rakyatnya. Oleh itu, kepesatan industri dianggap satu keperluan bagi mewujudkan peluang perkerjaan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Namun, telah terbukti kepesatan industri yang ditunjangi oleh orang yang memikirkan tentang keuntungan semata-mata menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kehilangan biodiversiti. Demi mengelakkan keadaan ini berulang maka kerajaan boleh memberikan subsidi dan insentif kepada industri yang menjalankan pemuliharaan bagi landskap yang telah dimusnahkannya. Strategi memperkasakan implementasi Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA ) juga satu usaha yang boleh dilaksanakan. Ini kerana sesuatu projek pembinaan berskala besar perlu dimulakan terlebih dahulu dengan penilaian ini. Menerusi peniaian ini, gambaran kemerosotan alam sekitar dan cara mengatasinya akan diperincikan.
Cadangan meraikan Hari Alam Sekitar yang dinyatakan diatas adalah sesuatu yang munasabah untuk dilakukan oleh semua pihak. Ada cadangan yang boleh terus dilaksanakan, manakala ada sebahagian cadangan perlukan perincian bagaimana ianya boleh dilaksanakan. Justeru itu, walaupun negara masih dalam tempoh PKPB, perincian tersebut boleh dirangka sebaiknya dan akhirnya dibincang dan dibahas apabila PKPB tamat nanti.
Oleh:
Ts. Dr. Roslinda Seswoya
Pusat Penyelidik Pencemar Mikro, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)