BATU PAHAT – Pasukan Penyelidik Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) berjaya meraih 10 pingat ketika menyertai Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019 yang berlangsung pada 2 hingga 4 Mei lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pada tahun ini UTHM menghantar sebanyak 10 produk inovasi untuk dipertandingkan dan kesemuanya berjaya mendapat tempat dengan meraih empat pingat emas dan enam pingat perak.
Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTHM, Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor berkata dengan menyertai pameran ini para penyelidik dapat meningkatkan lagi inisiatif, inovasi dan pencapaian mereka dalam bidang penyelidikan.
“Penyertaan UTHM di ITEX 2019 ini memberi ruang dan peluang kepada para penyelidik untuk mendapat pengiktirafan, selain berupaya mempromosi serta mengkomersilkan teknologi dan inovasi terkini yang dihasilkan mereka,” katanya.
“Penyertaan seumpama ini juga menjadi batu loncatan kepada para penyelidik untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan mereka sekali gus menjadi peyumbang kepada penjanaan pendapatan universiti,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, pameran pertandingan ini dianjurkan oleh Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dengan kerjasama strategik C.I.S Network Sdn. Bhd. serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta turut diiktiraf oleh Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA).
Lebih 1,000 reka cipta dari pelbagai universiti, badan-badan korporat serta individu dari pelbagai negara ASEAN dan Asia seperti Taiwan, Thailand, Bangladesh, Yemen, Hong Kong, Indonesia, Qatar, Vietnam, China, Laos 0064an Arab Saudi dipamerkan di ITEX 2019.
Berikut merupakan nama-nama penyelidik yang berjaya meraih pingat:
NO | PESERTA | TAJUK | PINGAT |
1 | Prof. Madya Ts. Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar | Clean – Biobeads | Emas |
2 | Ts. Dr. Faridah Binti Kormin | Preggy Cookies | Emas |
3 | Ts. Muhammad Shukri Bin Ahmad | Rapid Modular Prototyping System (RAMPS) | Emas |
4 | Ts. Mohd Hatta Bin Hj. Mohamed Ali @ Md Hani | Adik-Adik Jawi : The Development of Mobile Learning Apps to Enhance Jawi Learning Experience for Preschool Towards Education 4.0 | Emas |
5 | Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar | PrimaTourism: Transforming Local Economy and Sustainable Conservation of Critically Endangered Banded Langur in Johor | Perak |
6 | Ts. Dr. Mohd Norzali Bin Hj Mohd | Automated Age at Death Estimation System From Microscopic Images of Long Bones | Perak |
7 | Dr. Shazarel Bin Shamsudin | Functional Products by Hot Equal Channel Angular Pressing (ECAP) of Solid-State Recycling | Perak |
8 | Dr. Nor Hafizah Ngajikin | Homecare Uric Acid Reader | Perak |
9 | Dr. Faridahanim Binti Hj. Ahmad | Digital Smart Campus at Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia | Perak |
10 | Dr. Nurmiza Binti Othman | Handsfree Shoulder Massager with Puchi-shiatsu Technique | Perak |