BATU PAHAT – Industri 4.0 berusaha untuk memodenkan semua sektor di Malaysia yang menjurus ke arah pendigitalan sejajar dengan keperluan semasa. Bagi merealisasikan revolusi baharu Malaysia ini, 24 orang mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif dengan menyuntik elemen asas teknologi dalam seni khat melalui Program ‘Transformasi Khat Dalam Teknologi’ yang berlangsung pada 26 dan 27 April 2018 lalu.
Program anjuran Kursus Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, UTHM ini dilaksanakan sebagai satu usaha untuk menaikkan semangat cinta kepada seni khat dan teknologi.
Penganjuran program yang diketuai oleh Mohd Afiq Danial Khairull Azhar ini juga bertujuan untuk menarik minat golongan belia mencintai seni warisan Islam khususnya tulisan jawi dan khat selain sebagai pembuka tirai bagi Minggu Kesenian dan Kebudayaan Bahasa Arab 2018.
Beberapa aktiviti perkongsian ilmu telah diisi dalam program yang berlangsung selama hampir lapan jam ini antaranya demonstrasi seni khat nasakh oleh pelajar Akmal Hafiz Jamhari, cara mengaplikasi kemahiran menggunakan perisian adobe photoshop dalam seni khat dan perkongsian strategi pemasaran hasil seni khat melalui media sosial daripada salah seorang pelajar UTHM yang sedang aktif bergiat dengan seni khat iaitu Abdur Rahman Syafi’e.
Dengan perkongsian ini, secara tidak langsung membuktikan program anjuran PPUK mampu mengasah kemahiran dan mempraktikkan teori yang dipelajari di dalam kelas di samping dapat menimba pengalaman baharu (Experiential Learning) bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Selain itu, dengan memberi peluang sepenuhnya kepada pelajar untuk mengurus program ini, secara tidak langsung pelajar-pelajar dilatih untuk melaksanakan tugasan secara intelektual dan bersedia mengatasi segala permasalahan yang dihadapi dengan kritis dan kreatif untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan seperti yang dirancang.
Sementara itu penyelaras program merangkap pengajar, Nurulisyazila Othaman pula berkata secara keseluruhannya program ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu mengaplikasi asas teknologi dalam seni tulisan khat.
“Program ini memberi penekanan kepada usaha untuk memelihara keaslian seni khat, mempamerkan kemahiran menulis jawi dan seni khat menerusi aktiviti yang dijalankan dalam kehidupan seharian mengikut kaedah yang ditetapkan, di samping sebagai platform bagi mewujudkan semangat berkerjasama dan perpaduan antara pelajar dengan peserta program.”
“Kerjasama semua pihak termasuk para pelajar sebagai ahli penggerak, staf PPUK dan PPB, serta para peserta telah berjaya menerapkan nilai-nilai insaniah melalui kerjasama secara berkumpulan, kemahiran kepimpinan, cara menyelesaikan masalah dan kemahiran berkomunikasi, seterusnya berjaya mencipta sesuatu yang luar daripada kebiasaan mereka sebagai seorang pelajar universiti,” tambahnya lagi.