KUALA LUMPUR – Hasil penulisan ilmiah dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat pengiktirafan apabila dianugerah ‘Buku Umum Terbaik’ dalam kategori Kejuruteraan di Majlis Anugerah Buku Negara 2018 yang berlangsung pada 30 April lalu.
Pengiktirafan peringkat nasional itu diberi kepada Profesor Madya Dr. Erween Abd. Rahim dan Dr. Norfazillah Talib dengan buku mereka berjudul “Minyak Pelincir Berasaskan Tumbuhan.”
Buku yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan bahan rujukan kajian serta pembelajaran dan pengajaran yang menjurus kepada perbincangan mengenai potensi penggunaan minyak tumbuhan sebagai pelincir dalam industri pembuatan.
Secara umum, buku ini menyentuh tentang kronologi evolusi minyak pelincir, sifat-sifat umum dan sumber minyak tumbuhan serta kepelbagaian aplikasi minyak tumbuhan sebagai pelincir industri. Kajian terhadap potensi penggunaan minyak berasaskan tumbuhan sedang giat dijalankan di Pusat Penyelidikan Pemesinan Jitu (PREMACH), UTHM.
Majlis Anugerah yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur baru-baru ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Panel Penilai Anugerah Buku Negara, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
Untuk rekod, Anugerah Buku Negara ini telah dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara semenjak tahun 2005 hingga kini dan merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada penggerak industri buku atas komitmen dan usaha gigih mereka memajukan industri buku negara.
Selain itu, pengiktirafan ini juga memberi suntikan semangat kepada pemain industri sebagai galakan dan daya saing untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti.