Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 4 Feb 2026 – Profesor Dr. Afandi Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu berkuat kuasa mulai 3 Februari 2026 sehingga 2 Februari 2028.
Pelantikan itu bagi menggantikan Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin yang telah tamat tempoh lantikannya pada 30 Januari 2026 lalu.
Pelantikan itu mencerminkan keyakinan universiti terhadap kepimpinan beliau dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta memperluas jaringan pengantarabangsaan UTHM.
Prof. Afandi merupakan seorang tokoh akademik yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari Brunel University of London pada tahun 2010, selepas menamatkan pengajian Sarjana Sains (Mikroelektronik) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 dan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan (Elektrik) di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn pada tahun 2002.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting di UTHM termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dari tahun 2018 hingga 2021 serta Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh sejak Disember 2023.
Beliau juga merupakan Profesor VK7 di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan penyelidik utama di Institut Kejuruteraan Integrasi UTHM.
Dalam bidang penyelidikan, Prof. Afandi aktif meneroka kepakaran dalam sistem terbenam (embedded system), pemprosesan imej diagnostik perubatan, pengkomputeran berprestasi tinggi, bioelektronik dan instrumen, serta aplikasi Internet of Things (IoT) dalam peranti perubatan.
Prof. Afandi juga pernah menjalani cuti sabatikal di Universiti Sains Islam Malaysia, Aalborg-UNESCO Centre for Problem-Based Learning Aalborg Universitet Denmark dan Teaching & Learning Lab, The University of Melbourne, Australia bagi menfokuskan kajian berkaitan pendidikan berteraskan nilai, pembelajaran berasaskan masalah dan projek (PBL/PoPBL) serta analitik data pembelajaran.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut mengucapkan tahniah, sekali gus menyatakan keyakinannya terhadap pelantikan tersebut yang diharapkan bakal memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan kualiti akademik, kebolehpasaran graduan, jaringan kerjasama antarabangsa serta reputasi UTHM sebagai universiti teknikal bertaraf dunia.
“Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Afandi atas pelantikan ini dan mendoakan agar beliau terus cemerlang dalam memimpin agenda akademik dan pengantarabangsaan universiti,” katanya.
