Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Affero Ismail, Suriayati Baharom
DORTMUND – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Technische Universität Dortmund (TU Dortmund) memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan melalui Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 17 November 2023 lalu.
MOU yang dimeterai itu diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM manakala TU Dortmund pula diwakili Presidennya, Prof. Dr. Manfred Bayer.
Sesi tandatangan yang diadakan di kampus TU Dortmund itu turut disaksikan oleh PM Ts. Dr. Affero Ismail dari UTHM dan Prof. Dr. Sabine Hornberg, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Psikologi.
Hadir sama, Prof. Dr. Jailani Md Yunos, Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRivet).
UTHM-TU Dortmund bakal bekerjasama dalam aktiviti pertukaran staf akademik dan penyelidik, mobiliti pelajar serta penganjuran bersama program dan pelaksanaan program latihan.
Prof. Abdul Rasid dalam ucapannya berkata, MOU itu menjadi permulaan dalam meningkatkan kerjasama yang serius antara UTHM dan TU Dortmund.
“Pihak kami yakin dengan pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua institusi, kita dapat mencapai lebih banyak manfaat secara bersama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
“Kerjasama seumpama ini juga diharapkan dapat memperkayakan lagi pengalaman pelajar dan staf, serta mendorong penyelidikan bersama dalam bidang-bidang yang relevan,” katanya.
Sementara itu, Prof. Manfred juga menyambut baik kerjasama tersebut dan berharap dapat menjalin hubungan yang erat dengan UTHM dalam memperluaskan lagi perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang akademik sekali gus menggalakkan pertukaran budaya antara pelajar dan staf kedua-dua universiti.
UTHM juga berharap kerjasama seumpama ini dapat memberi sumbangan yang positif kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.