BATU PAHAT – Sekumpulan pakar bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan untuk menjalankan satu kajian bagi menganalisa pekerjaan belia di negara ini.

Kepakaran mereka mendapat perhatian daripada pihak International Labour Organization (ILO) dengan menyuntik dana penyelidikan bagi mencari mekanisma terbaik bagi membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan.

Kajian tersebut berjaya dijalankan seperti yang dirancang dan diakhiri dengan penganjuran bengkel validasi bersama pakar-pakar di peringkat nasional pada 7 Disember 2022 lalu.

Projek yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail itu dianggotai enam pensyarah, selain penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) serta tiga pembantu penyelidik.

Menurut Dr. Affero, seramai 30 wakil agensi yang terdiri daripada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, institusi TVET dan industri seluruh Malaysia telah dijemput bagi menghadiri bengkel validasi analisa pekerjaan belia yang mana setiap wakil agensi diberi peluang untuk mengemukakan pandangan berkaitan persepsi pekerjaan belia.

“Objektif utama bengkel validasi ini dijalankan adalah untuk mengesahkan data dan dapatan kajian bagi membantu transisi golongan belia ke alam pekerjaan dalam bidang TVET peringkat nasional.

“Projek ini merupakan satu agenda negara yang sangat signifikan terutamanya dalam menyediakan satu medium bersepadu serta koordinasi antara pemain TVET di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Usaha tersebut juga merupakan salah satu sumbangan penting UTHM sebagai peneraju TVET negara dalam membantu meningkatkan ekonomi negara terutamanya dalam kalangan belia dan golongan yang tercicir, minoriti dan kurang upaya.