Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar dan Dr. Nur Hafizah Malik
PAGOH – Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada Institute of Food Technologists (IFT) yang berpengkalan di Chicago, Amerika Syarikat.
Kejayaan tersebut menjadikan UTHM sebagai universiti Malaysian Technical University Network (MTUN) pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan selama lima tahun dari IFT bermula tahun 2023 ini.
Manakala dalam kalangan universiti awam dan swasta (kategori bukan penyelidikan) di Malaysia pula, UTHM menjadi universiti pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan IFT.
Pengiktirafan ini adalah hasil semakan dan penilaian ketat oleh IFT Higher Education Review Board (HERB) bagi program akademik berkaitan sains makanan.
Menurut Dekan FAST, Profesor Madya Dr. Mohamad Zaky Noh pengiktirafan ini membuktikan UTHM begitu komited dalam memastikan program akademiknya terus kekal relevan, berdaya saing, berkualiti tinggi dan dikenali di peringkat dalam mahupun luar negara.
“Pengiktirafan ini juga akan membuka peluang laluan terus kepada pelajar-pelajar Teknologi Makanan di UTHM untuk mendapat pelbagai jenis biasiswa yang ditawarkan oleh IFT,” katanya.
Untuk rekod, IFT yang ditubuhkan pada 1939 telah mengiktiraf lebih dari 80 universiti di seluruh dunia yang menawarkan program berkaitan dengan sains dan teknologi makanan.
IFT telah menetapkan piawaian antarabangsa yang tinggi bertujuan untuk menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam bidang ini.
UTHM berjaya menempatkan kedudukannya setanding dengan universiti-universiti terkemuka di dunia yang mendapat pengiktirafan sama seperti Cornell University, Iowa State University, Michigan State University, Pennsylvania State University, Massey University, McGill University, Hong Kong Polytechnic University, Al-Ain University (UAE), University College Dublin dan University of British Columbia.
Pada masa ini UTHM telah mempunyai alumni seramai 202 orang dari program Teknologi Makanan dengan pelajar aktif sejumlah 260 orang.
Alumni program ini telah berjaya mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat multinasional dan antarabangsa terkemuka seperti Hershey’s, Nestle, Mondelez International, Air Asia X, Coca Cola, F&N dan Farm Fresh.
Seiring dengan hala tuju UTHM iaitu menjadi Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030), universiti komited menarik lebih ramai lagi pelajar yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan seterusnya berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan ini telah bermula sejak tahun 2018 dan dibantu oleh pemegang-pemegang taruh program seperti Profesor Pelawat, Pemeriksa Luar dan Penasihat Industri FAST.
Antara yang terlibat adalah Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Profesor Dr. Fazilah Ariffin dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Sementara itu, kata Ketua Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Ts. Dr. Siti Fatimah Sabran berkata walaupun dunia sebelum ini dilanda wabak Covid-19, usaha keras dari Ketua Program Teknologi Makanan, Profesor Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad, Ketua Taskforce IFT Dr. Nurhafizah Malik dan semua ahli program akhirnya membuahkan hasil pada hari ini.
“Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi daya penarik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengikuti program berkaitan sains dan teknologi makanan di UTHM,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di :
1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 3 Januari 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/program-sains-dan-teknologi-dapat-pengiktirafan-antarabangsa/