Berita Harian | 25 September 2022 :
Oleh Omar Ahmad
Usia dan masa boleh diibaratkan sesuatu mesti ‘diperah’ oleh orang beriman untuk mendapatkan hasil bermanfaat bukan sahaja dalam kehidupan dunia, bahkan lebih utama lagi di akhirat kelak.
Bagaimanapun, ia mungkin menjadi antara perkara diabaikan orang Islam hingga Allah SWT mewajibkan setiap Muslim untuk saling nasihat-menasihati dan membimbingnya ke arah kebaikan serta menunjukkan jalan untuk mencapainya.
Pensyarah Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Abdul Hadi Abd Aziz, berkata hal itu tersurat melalui satu surah pendek dalam al-Quran tetapi mempunyai mesej sangat besar.
Firman Allah SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal soleh. Dan berpesanpesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr: 1-4)
“Terdapat kehalusan al-Quran daripada surah ini kerana ia motivasi kepada pencinta ilmu dalam mendalami kitab suci itu dan memberi penekanan kepada umur, amalan serta manfaat kehidupan,” katanya.
Oleh itu, Abdul Hadi berkata, masa dan umur manusia diibaratkan proses perahan memerlukan insan memerah dan menekan kepada kedua-dua perkara itu sebaik mungkin untuk mendapat kebaikan.
“Jika kita tidak memperelokkan proses memerah masa dan umur hingga mendapat faedah daripadanya, nescaya kita akan menyesal kehilangannya,” katanya.
Beliau mengingatkan Allah SWT bersumpah dengan masa dan waktu bahawa manusia berada dalam kerugian kecuali insan memiliki empat ciri, iaitu beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran.
“Surah ini menyebut empat sifat orang beriman disifatkan berjaya dan beruntung, iaitu pandai menjaga umur dan masa mereka.
“Amalan nasihat-menasihati juga menjadi gambaran kepada suasana pembelajaran dan proses ulangkaji terhadap sesuatu ilmu supaya masing-masing dapat saling ingat-mengingati hakikat sesuatu kebenaran,” katanya.
Justeru, Abdul Hadi menyarankan setiap Muslim menghidupkan majlis ilmu di masjid, rumah dan tempat kerja supaya kita dapat bertemu untuk saling ingat-mengingati mengenai ilmu pengetahuan serta saling mengajar dengan kebenaran.
“Pencinta ilmu mempunyai jiwa bersemangat dan bersungguh yang tidak akan padam untuk menuntut ilmu bermanfaat hingga dia memperoleh panduan dalam hidupnya.
Abdul Hadi Abd Aziz
Guru Bahasa Arab
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)