Utusan Malaysia, 24 September 2022 :

SAUDARA PENGARANG,

CUKUP teruja menyaksikan semangat perpaduan ditunjukkan penduduk pelbagai kaum yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu sehingga wujud ungkapan bahawa hanya ahli politik memainkan isu perkauman sedangkan perasaan muhibah Keluarga Malaysia semakin erat.

Istilah Keluarga Malaysia, sebenarnya sangat bersesuaian dengan suasana kepelbagaian kaum yang ada di negara kita. Dengan menganggap penduduk lain sebagai ahli keluarga, pastinya kita akan menjaga keharmonian negara dan cuba menghormati hak orang lain. Kita juga akan cuba menerima kelebihan dan kekurangan setiap ahli keluarga.

Sifat kebersamaan, saling memaafkan dan tidak memperbesarkan perkara kecil dan remeh menjadikan ikatan keluarga besar ini lebih erat dan kukuh sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Sebagai rakyat yang prihatin, cubalah sedaya upaya untuk mengelak daripada menyentuh isu-isu sensitif melibatkan kaum atau agama lain.

Elakkan provokasi yang boleh membawa kepada perpecahan lebih besar. Menghormati hak masing-masing di samping menjaga dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan perlu ada dalam jati diri setiap daripada kita.

Semua 183 perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan haruslah dihormati dan diterima oleh setiap daripada kita, rakyat Malaysia.

Hidup di bawah satu rukun sama, akan menjadikan rasa kebersamaan yang lebih erat. Fahami dan hayatilah prinsip-prinsip yang ada dalam Rukun Negara.

Demi negara kita cintai, elak sebarang pertelingkahan dan jauhi perkara yang boleh mengundang persengketaan. Keharmonian adalah kelebihan kita di mata dunia dan inilah yang akan diwarisi kepada generasi seterusnya. Sayangi Malaysia.

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. utusan.com, 24 September 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/09/peliharalah-warisan-keharmonian-pelbagai-kaum/

2. melaysiakini.com, 24 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/peliharalah-warisan-keharmonian-pelbagai-kaum-57208.html

 

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)