Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT – Bagi memastikan para atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuat persediaan secukupnya bagi menghadapi kejohanan yang bakal tiba, Pusat Sukan Universiti (PSU) telah menganjurkan Kem Hussein Warriors Siri 1, 2021 secara maya pada 4 hingga 7 Ogos lalu.

Penganjuran kem ini juga bertujuan memastikan kelancaran persediaan yang dibuat oleh para atlet sebagai persiapan menyertai kejohanan sukan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2021 dan 2022 sekali gus mencapai sasaran pingat emas.

Penganjurannya juga untuk memberi latihan yang mencukupi, konsisten, berintensiti tinggi dan berfokus bagi memastikan adanya peningkatan prestasi setiap atlet yang terpilih.

Bagi memastikan pencapaian sukan UTHM semakin meningkat seperti sasaran yang ditetapkan PSU, kem ini juga dijadikan platform untuk menggilap bakat para atlet berprestasi tinggi agar kejayaan di arena sukan tempatan mahupun antarabangsa mudah dicapai.

Tambahan pula, tarikh penganjuran temasya sukan terbesar IPT telah dimaklumkan oleh KPT iaitu Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) pada 28 Februari hingga 8 Mac 2022 dan ASEAN University Games (AUG) Thailand pada 26 Julai hingga 6 Ogos 2022.

Walaupun terkesan dengan pandemik Covid-19, PSU tetap komited memberi galakan dan dorongan kepada atlet UTHM dengan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan pembangunan sukan UTHM terus berjalan seperti yang dirancang.

Melalui kem ini, PSU dapat memberi motivasi yang tinggi kepada atlet, pengurus dan jurulatih untuk mencapai sasaran kutipan pingat emas yang ditetapkan dalam program “Hussein Warriors” pada kejohanan yang bakal berlangsung.

Manakala sesi latihan bersama Jurulatih pula dapat dimanfaatkan oleh para atlet yang terpilih dalam memperkemaskan lagi persiapan fizikal dan mental mereka.

Turut diadakan, sesi senamrobik yang bertujuan membantu para atlet kembali cergas dan menghilangkan sedikit tekanan selepas mengharungi peperiksaan akhir semester yang lalu.

Sementara itu, penerapan sains sukan turut diberikan kepada atlet menerusi penganjuran webinar ‘Pemakanan Sukan’ yang disampaikan oleh Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, manakala webinar ‘Kecederaan Sukan’ pula disampaikan oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Katip, kedua-duanya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Penganjuran program seperti ini membuktikan PSU sentiasa komited dalam pembangunan sukan IPT seperti yang terkandung dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tingggi (DPSIPT) untuk melahirkan ?The Thinking Athlete? dengan mensasarkan 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet IPT.