Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19 yang bermula pada 9 November 2020 lalu menyebabkan penutupan semua institusi pendidikan dan sekolah di seluruh negara.
Bagi memenuhi tuntutan pembelajaran dan pengajaran (PdP), pembelajaran jarak jauh (PJJ) atau pembelajaran dalam talian merupakan jalan penyelesaian yang agak baharu bagi semua IPT dan sekolah. Pembelajaran secara maya ini bukan suatu perkara mudah ,penyampaian ilmu juga di luar kawalan dan jauh dari pandangan mata.
Ada sesetengah pensyarah mungkin khuatir dan risau dengan ilmu yang akan disampaikan nanti, sama ada boleh diterima atau tidak. Bertambahlah kesibukan untuk menyediakan bahan dan keperluan lain bagi memastikan penyampaian lebih menarik dan berkesan. Semua ini sebenarnya telah disarankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dengan menjadikan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Kini tibalah masanya untuk merealisasikan unjuran tersebut dan menghadapinya dengan pelbagai tatacara pengendalian piawai (SOP) yang perlu dipatuhi. Kehadiran pandemik ini tidak mengizinkan pelajar bersemuka bagi semua peringkat pengajian. Justeru itu, pensyarah perlu lebih bersedia hadapi kuliah maya sesuai dengan norma baharu.
Pelaksanaan PdP secara norma baharu ini menjadikan ia agak mencabar dan memerlukan sedikit ruang dan masa untuk menerima dan membuat persediaan diri serta bahan pengajaran secara teknikal. Pensyarah yang terbaik dapat menyampaikan ilmu dengan cara yang ringkas dan mudah. Namun kini semua berubah mengikut keperluan semasa.
Dari segi persediaan, para pensyarah perlu lebih kreatif dan lebih masa untuk mempelajari perkara baharu yang lebih berteknologi. Ilmu yang diterokai dikongsi bersama di saluran terbuka yang mudah dicapai seperti YouTube, Instagram dan facebook. Beberapa saranan dikongsi di sini khas untuk pensyarah menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan..
- BERSEDIA – Diri perlu bersedia dengan hati terbuka dengan persediaan bahan pengajaran yang dirancang dan disusun dengan lebih teratur. Kenal pasti cara penyampaian yang sesuai dan platform yang mudah digunakan seperti Google classroom, Author, MOOC, Schoology dan Edmodo.
- WAKTU – Luangkan masa untuk mempelajari pelbagai kecanggihan teknologi dan penggunaan teknik di samping mengasah kemahiran dalam menyediakan bahan dan penyampaian. Pelajari dan fahami kelebihan dan kekurangan aplikasi/ kemudahan yang sedia ada dan buat pilihan mengikut kesesuaian dan keperluan.
- VIDEO – Buat rakaman video bahan pengajaran atau bahan sampingan lain dan muat naik di laman/ platform kelas/ kursus secara tersusun dan dikemas kini melalui media sosial sokongan seperti WhatsApp. Dengan cara ini, pelajar lebih mudah menonton secara ulangan atau memuat turun di ruangan sendiri.
- RAKAMAN PENDEK – Pastikan rakaman video tidak terlalu panjang bagi satu-satu topik. Disarankan video dirakam bahagian demi bahagian yang hanya berdurasi enam hingga 10 minit. Pembelajaran berkesan tidak mengambil tempoh yang lama tetapi pelajar mampu memberi fokus kepada titik penting penyampaian tersebut.
- KREATIF– Penyampaian juga perlu dipelbagaikan dengan interaktif lain seiring dengan era digital masa kini contohnya seperti kuiz, ujian, peperiksaan dan aktiviti sampingan yang menyeronokkan. Pensyarah perlu memikirkan cara penyampaian terbaik dan mudah untuk pelajar melihat, mendengar dan mengadaptasi ilmu secara sendiri.
- MUDAH – guna kelengkapan yang mudah dan mesra pengguna supaya tidak menambah tekanan kepada diri sendiri. Tidak perlu mengikut kehebatan rakan lain jika kita tidak mampu mengolahnya. Kelengkapan tambahan lain juga boleh diaplikasikan seperti HD webcam, set fon telinga dan mikrofon dan monitor tambahan. Bahan yang disediakan perlu ringkas dan mudah difahami dan bukannya terlalu canggih sehingga membebankan diri sendiri. Dapatkan khidmat dan kemudahan daripada pihak institusi bagi melancarkan kemahiran yang diterokai.
- BERHUBUNG – sentiasa berhubung secara ringkas dengan pelajar bagi menyemak dan mengemas kini maklumat yang mungkin terlepas pandang semasa di platform kelas atau
- YAKIN – pensyarah perlu yakin dan pastikan apa yang disampaikan dapat diterima pelajar. Sebagai tambahan, pensyarah boleh menyediakan ruangan maklum balas ringkas sebagai pemantauan keberkesanan e-pembelajaran sepanjang kursus tersebut.
Bukan tempoh masa pertemuan yang perlu dititik beratkan dahulu tetapi kandungan yang disampaikan mudah diterima dan mencapai objektif pembelajaran tersebut. Ia diukur dari segi kognitif (intelek), psikomotor (kemahiran) dan afektif (sikap) seseorang pelajar dalam pelbagai bentuk penilaian formatif atau sumatif. Dengan ini, adalah amat penting untuk mereka bentuk aktiviti pembelajaran maya yang praktikal dan bermakna bagi pelajar mencapai hasil pembelajaran sesuatu kursus.
Sebagai pelajar di era pandemik ini, mereka perlu peka dengan perubahan dan peredaran semasa, mahir menggunakan internet dan teknologi terkini serta perlu berusaha melengkapi keperluan capaian dan perhubungan.
Mereka juga perlu bijak menyusun waktu harian di rumah walaupun ada aktiviti sampingan yang menyebabkan mereka kurang tumpuan pada kuliah dan pembelajaran. Peralihan kaedah pembelajaran maya (e-pembelajaran) melalui pendengaran dan penglihatan perlu diterima dengan minda yang terbuka dan sedikit persediaan.
“To be a great teacher you don’t need the latest technology, the cutest classroom, or the newest outfit. What you do need is a passion for learning, and the heart to love every student that enters your classroom” – Teacher’s Quote
Ts. Dr. Sabariah Musa
Ketua Jabatan / Pensyarah Kanan
Rekabentuk Instruksional dan Sokongan
Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global / Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Gambar Ilustrasi oleh Lpmprogress.com