Dua graduan Sarjana Muda, Amir Nurharis Abd Ghani dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta Pang Chun Khai dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) bagi Konvokesyen ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kedua-dua graduan itu dikurniakan anugerah tersebut oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly ketika berlangsungnya Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Konvokesyen Ke-20 UTHM pada 8 November 2020 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Amir, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal menjelaskan kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah hasil cabaran daripada ayah dan tiupan semangat seorang ibu yang sentiasa berada di sisi.

Menurut Amir cabaran demi cabaran yang diberi ayahnya bermula dari pengajian peringkat diploma sehinggalah ke ijazah membuatkan dia nekad untuk bergiat aktif dalam kepimpinan dan badan beruniform, selain turut cemerlang dalam pembelajaran.

Sepanjang pengajian di universiti ini, dia pernah menggalas amanah sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan selain turut bergiat aktif dalam badan beruniform sehingga berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Muda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Saya juga aktif menyertai program-program peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan pernah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Pemimpin Harapan 2016, Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor dan Anugerah Penglibatan Antarabangsa.

“Namun saya tetap mengimbangi pembelajaran saya dengan cara bijak membahagi masa dan  disertai dengan usaha, doa dan tawakal,” katanya.

Sementara itu, Pang pula berkata memberi tumpuan sepenuhnya ketika pensyarah menyampaikan kuliah menjadi kunci kecemerlangannya dalam pelajaran sehingga berjaya mendapat ijazah kelas pertama.

Saya jarang menulis nota dalam kelas kerana bagi saya ia tidak memberi kesan yang lebih baik berbanding dengan fokus mendengar.

“Jika ada sesuatu yang saya tidak faham, saya akan terus bertanya kepada pensyarah ataupun membuat carian maklumat di internet,” katanya.

Menurut Pang lagi sebagai pelajar dia perlu memahami dengan baik apa yang sedang dipelajari dan tahu di mana ilmu tersebut boleh digunakan.

“Kita perlulah tahu di mana boleh menggunakan ilmu yang kita belajar, kenapa kita perlu belajar dan apa yang boleh kita lakukan dengan ilmu itu, bukan sekadar menghafalnya untuk menjawab soalan peperiksaan,” tambahnya lagi.

Selain cemerlang dalam akademik, Pang juga aktif menyertai program dan aktiviti ko-kurikulum kerana baginya penyertaan sebegitu dapat meningkatkan lagi kemahiran insaniah dalam dirinya.

“Saya suka menyertai aktiviti dan program yang dianjurkan kerana saya dapat meningkatkan lagi kemahiran insaniah yang mungkin tidak boleh dipelajari dalam kelas, selain dapat menambah kenalan untuk bertukar-tukar idea dan buah fikiran,” ujarnya.