BATU PAHAT – seramai 4001 orang graduan layak menerima sijil masing-masing setelah berlangsungnya Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 8 November 2020 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Perisytiharan penganugerahan yang dibuat oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly secara maya itu merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (117), Sarjana (252), Sarjana Muda (2831) dan Diploma (801).

Istiadat yang hanya dihadiri oleh pegawai kanan universiti itu juga turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat kepada Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng bagi menghargai jasa bakti dan kecemerlangan beliau dalam dunia perindustrian lestari, pemuliharaan tenaga dan tenaga diperbaharui, serta kepimpinan dalam komuniti di peringkat negara dan antarabangsa.

Turut menerima anugerah dalam istiadat tersebut, penerima Anugerah Sultan Ibrahim iaitu Mek Zi Chong, graduan sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu Amir Nurharis Abd Ghani, graduan sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta Pang Chun Khai, graduan sarjana muda dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Perisytiharan yang disiarkan secara ‘LIVE’ di media sosial rasmi universiti ini secara simboliknya menandakan graduan UTHM telah dianugerahkan dengan sijil akademik masing-masing.

Datuk wahid dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universiti ini. Beliau berpesan kepada graduan untuk menonjolkan keunikan kepakaran bidang sebagai nilai tambah untuk dipilih sebagai pekerja kelak.

“Graduan perlu kompeten untuk bersaing dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai, mempunyai daya keusahawanan yang tinggi dan boleh mengadaptasi situasi semasa dengan lebih cepat bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa hadapan.

“Oleh itu, persiapkanlah diri dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi untuk menerajui pembangunan negara kita yang tercinta ini dengan penuh amanah dan bertanggungjawab,” katanya.

Dengan berlangsungnya istiadat pengisytiharan ini maka jumlah graduan UTHM sehingga tahun 2020 telah mencecah seramai 52 130 orang.