Setiap hari, ribuan rakyat Malaysia keluar dari rumah dengan satu harapan yang sama iaitu untuk sampai ke destinasi dan pulang semula ke pangkuan keluarga dengan selamat. Namun, harapan yang sederhana ini sering terhenti di tengah jalan apabila jalan raya bertukar menjadi ruang tragedi yang meragut nyawa, kadangkala tanpa belas.
Menurut statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), sebanyak 3,087 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Jumlah ini bersamaan lebih 17 kematian yang berlaku setiap hari. Di sebalik angka ini, bukan sekadar data yang perlu diperhatikan secara bersama oleh semua pihak, tetapi kehilangan nyawa yang meragut harapan dan cita-cita yang telah dirancang bersama antara ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak malah datuk dan nenek.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2023 (WHO) menganggarkan sekitar 1.19 juta kematian setahun akibat kemalangan jalan raya dan ini menjadikannya antara krisis kesihatan awam paling konsisten tetapi sering kurang diberi perhatian. Jika diamati, ia bukan sekadar isu pengendalian kenderaan, tetapi isu nilai kemanusiaan yang senyap dan berterusan.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak berada pada tahap paling selamat mahupun paling berbahaya, namun berada dalam kelompok negara berpendapatan sederhana dengan kadar kematian jalan raya yang masih tinggi berbanding negara maju seperti Jepun, United Kingdom dan Singapura. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Asian Development Bank dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan kadar kematian Malaysia sekitar 13 hingga 18 bagi setiap 100,000 penduduk, dengan lebih 80 peratus kemalangan berpunca daripada faktor manusia. Ini menunjukkan bahawa cabaran utama keselamatan jalan raya bukan hanya pada infrastruktur atau undang-undang, tetapi pada budaya, sikap dan disiplin pengguna jalan raya.
Kes kemalangan jalan raya tidak boleh hanya dilihat berpunca daripada infrastruktur dan keadaan jalan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh sikap pengguna sendiri yang kerap mengabaikan peraturan asas keselamatan sehingga mengundang tingkah laku berisiko. Tingkah laku ini merangkumi pelbagai kesalahan seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, serta memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah. Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan bahawa sekitar 26 hingga 50 peratus penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah, manakala kira-kira empat daripada sepuluh didapati memandu melebihi had laju. Dalam masa yang sama, lebih 40 peratus pemandu mengakui menggunakan telefon bimbit ketika memandu walaupun menyedari risiko yang tinggi, sekali gus menggambarkan isu disiplin yang masih ketara dalam kalangan pengguna jalan raya.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kemalangan turut disebabkan oleh budaya pemanduan berbahaya seperti lumba haram dalam kalangan segelintir pengguna, khususnya golongan muda, serta pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Kes pemandu mabuk dan dadah turut menunjukkan peningkatan kepada 31 kes pada tahun 2025 berbanding 27 kes pada tahun sebelumnya, dan setiap kes membawa implikasi besar kerana melibatkan kehilangan nyawa insan tidak bersalah serta meninggalkan trauma mendalam kepada keluarga mangsa.
Tragedi jalan raya sentiasa meninggalkan kesan berantai yang panjang. Kehilangan seorang bapa bermakna hilangnya sumber nafkah keluarga. Pemergian seorang ibu pula membawa pergi kasih sayang harian yang tidak dapat diganti. Kematian seorang anak pula meragut masa depan sebuah keluarga sebelum sempat berkembang. Dalam keadaan ini, persoalan yang lebih besar timbul bukan hanya tentang siapa yang terlibat, tetapi tentang siapa yang akhirnya menanggung kesan daripada kehilangan yang tidak pernah diundang ini.
Dari sudut perundangan, Malaysia mempunyai asas undang-undang yang kukuh melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Seksyen 41(1) memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, manakala Seksyen 44 memperuntukkan hukuman lebih tegas bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian. Namun begitu, kekuatan undang-undang hanya akan berkesan apabila disokong oleh kesedaran, disiplin dan tanggungjawab pengguna jalan raya bersama, kerana keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa semata-mata.
Adab di jalan raya juga berkait rapat dengan prinsip Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan serta Kedaulatan Undang-undang. Apabila nilai ini benar-benar dihayati, jalan raya tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk berlumba, menunjukkan ego atau menguji keberanian, tetapi sebagai ruang bersama yang menuntut empati, kesabaran dan rasa hormat terhadap nyawa orang lain. Sebagai masyarakat yang bertamadun, jalan raya perlu dilihat sebagai satu kemudahan yang disediakan untuk kegunaan dan keperluan bersama dan perlu digunakan dengan penuh hikmah.
Hakikatnya, kemalangan jalan raya bukan hanya isu teknikal, tetapi isu nilai kemanusiaan dan tamadun yang semakin merosot. Ia berlaku di kampung, bandar kecil dan kota besar tanpa memilih siapa mangsanya. Corak kemalangan yang berulang seperti kecuaian pengguna jalan raya akan terus meragut nyawa insan yang tidak bersalah. Keadaan ini menunjukkan bahawa isu keselamatan jalan raya sememangnya berkait rapat dengan tahap kesedaran, disiplin dan nilai kemanusiaan dalam masyarakat moden. Hal ini semakin ketara dalam era digital yang memperlihatkan penghakisan nilai kesabaran, empati dan tanggungjawab sosial, sekali gus memberi kesan kepada penghayatan nilai ketamadunan dalam kehidupan seharian termasuk di jalan raya.
Justeru, penyelesaian tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, tetapi perlu melibatkan kesedaran, kesediaan dan perubahan budaya secara menyeluruh. Pembinaan budaya empati di jalan raya perlu diperkasa dan menjadi satu keperluan setara. Pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu melangkaui aspek undang-undang, kepada pembentukan nilai menghargai nyawa manusia lain. Selain itu, media, institusi pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan secara berterusan dalam membina kesedaran ini, bukan hanya ketika musim perayaan atau selepas tragedi berlaku.
Akhirnya, adab di jalan raya merupakan cerminan sebenar akhlak dan tamadun bangsa. Apabila kita memilih untuk memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi turut menjaga nyawa orang lain yang tidak bersalah, sekali gus memperkukuh rasa tanggungjawab sesama manusia.
Jalan raya ialah ruang bersama yang mencerminkan tahap ketertinggian tamadun sesebuah masyarakat yang beradab. Setiap perjalanan menjadi ujian kecil kepada nilai kemanusiaan kita, dan setiap keputusan di atas jalan membawa implikasi yang jauh lebih besar daripada yang sering kita sedari.

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa
Pensyarah (Profesor Madya)
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 16 Jun 2026: Nyawa bukan statistik

2. MyMetro (hmetro.com.my), 16 Jun 2026: Nyawa bukan statistik
https://www.hmetro.com.my/rencana/2026/06/1370648/nyawa-bukan-statistik
