Revolusi industri dan teknologi hari ini menuntut graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menerokai pelbagai ilmu dan membangun sebagai graduan yang holistik dari segenap segi. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang baru diluncurkan antaranya memberi penekanan terhadap pemerkasaan TVET melalui lonjakan ketiga iaitu Kompetensi TVET Termaju. TVET bukan hanya melahirkan graduan yang berkemahiran tetapi graduan yang berdaya saing, relevan dalam dunia yang kian rencam. Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) 4, menggariskan ‘Pendidikan Berkualiti’ dan ‘TVET’ bagi menggalakkan akses yang saksama kepada pendidikan yang terbaik. Seiring dengan perkembangan dunia hari ini, lanskap terhadap pekerjaan telah berubah. Timbul persoalan bagaimana graduan TVET bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Kini, TVET dilihat sebagai pemangkin penting kepada keperluan negara dan teras penting ekosistem pendidikan negara. Pemodenan graduan TVET bermula dengan perubahan pendekatan pendidikan. Dunia pekerjaan hari ini, memerlukan graduan mampu untuk melaksanakan pelbagai tugas, bukan hanya tugasan rutin sahaja. Graduan TVET mampu untuk menyesuaikan diri dengan teknologi, menyelesaikan masalah, berfikir secara kritis dan melaksanakan tindakan dengan tepat dalam persekitaran kerja yang dinamik dan mencabar. Bersesuaian dengan rancangan baharu ini, graduan TVET bukan hanya menjalani latihan kemahiran sahaja tetapi merentasi pendidikan berasaskan teknologi tinggi, inovasi dan jalinan kolaborasi bersama industri. Pengukuhan kolaborasi bersama industri penting, sekali gus memperkukuhkan pendekatan pembelajaran berasaskan Work-Based Learning (WBL) iaitu pembelajaran yang menggabungkan pengajian akademik dan pengalaman kerja sebenar. Hal ini dapat memberikan kesan secara langsung kepada industri berkaitan reka bentuk dan pelaksanaan kurikulum sesuatu program. Graduan TVET juga dapat didedahkan lebih awal kepada realiti pekerjaan sebenar, membentuk kematangan dan sikap berdaya saing. Nilai tambah ini dapat membantu graduan untuk diserap secara langsung sebaik tamat pengajian.
Pemodenan graduan TVET perlu bersandarkan keperluan kemajuan teknologi masa kini, seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi hijau. Kesannya, telah merubah struktur pekerjaan secara drastik. Penguasaan teknologi ini dapat memastikan graduan TVET masa hadapan celik digital, mahir teknologi dan bersedia memenuhi pekerjaan yang belum wujud pada masa kini.
Nilai teras kesejahteraan holistik antara empat nilai teras yang digariskan dalam Kerangka Pendidikan Tinggi. Mempertimbangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan holistik individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, pembentukan graduan TVET yang beretika, berdisiplin dan bertanggungjawab amat penting. Pemodenan graduan TVET juga merangkumi pembinaan nilai insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan integriti tinggi. Pasaran kerja pada masa hadapan, tidak hanya bergantung kepada kecekapan kemahiran sahaja, tetapi kebolehupayaan berkerja dalam pasukan. Pendekatan ini mampu menjadikan TVET sebagai wahana dalam pembentukan modal insan yang seimbang dan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.
Pembelajaran sepanjang hayat dalam dimensi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 memberi peluang dan ruang kepada graduan TVET dalam pembangunan kemahiran mengikut keperluan individu. Ia sekali gus dapat membantu graduan TVET cepat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Melalui pelbagai persijilan dan pengiktirafan pembelajaran terdahulu, peluang peningkatan kerjaya amat tinggi, dan pendidikan graduan TVET tidak hanya terikat pada satu tahap sahaja. Selain itu, graduan TVET dipandu dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan selari dengan keperluan dan perubahan industri.
Secara umumnya, pemodenan graduan TVET adalah amat berkeperluan yang merupakan aset negara. Sejajar dengan pembaharuan pendidikan melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, TVET berperanan membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berfikiran terbuka dan bersedia menghadapi cabaran global. Graduan TVET menjadi pemangkin kepada daya saing dan kemajuan ekonomi negara pada masa hadapan. Graduan TVET bakal pembangun teknologi tinggi yang berorientasikan kecemerlangan peribadi, kehebatan kemahiran, tinggi nilai dan jati diri.

Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
Ketua Jabatan
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
