Sehingga hari ini, landskap pendidikan tinggi tidak lagi berubah secara linear. Kehadiran Kecerdasan Buatan (AI) bukan sekadar gangguan teknologi yang bersifat sementara, tetapi telah menjadi peneman yang melengkapi kehidupan seharian. Kita sebenarnya sedang menyaksikan fasa pertarungan sengit antara kecerdasan manusia dan mesin. Fenomena ini menuntut pendefinisian semula peranan dan hala tuju universiti, kekal sebagai menara ilmu yang dinamik atau sekadar menjadi arkib statik.

Kita kini diasak serentak oleh cabaran “4P”: Pendigitalan (Digitalisation), Penyahkarbonan (Decarbonisation), Pendemokrasian (Democratisation), dan Paksi Adab (Dignity). Semua cabaran ini mendambakan jawapan tuntas, bersediakah kita melakukan reformasi secara radikal atau sekadar memilih untuk kekal selesa dalam zon penafian?

Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 baru-baru ini merupakan “kontrak sosial” baharu bagi sektor akademik negara. Dokumen strategik ini yang bersifat living document mesti dimanfaatkan agar universiti berupaya memberikan nilai tambah melangkaui algoritma AI. Jika gagal, masyarakat akan terus melontarkan persoalan, “Buat apa lagi kita hantar anak ke universiti?” atau “Tak perlu pun masuk universiti, saya tetap boleh berjaya.”

Kegagalan melakukan anjakan radikal akibat kesesakan mentaliti penafian bukan sekadar kerugian akademik, malah bakal mengundang bencana ekonomi nasional dampak risiko kemunculan “Generasi Yang Hilang” (Lost Generation). Ini merujuk kepada kelompok bakat yang memiliki kelayakan formal di atas kertas, tetapi tidak terampil dalam ekosistem ekonomi moden yang menuntut ketangkasan fikiran, kestabilan emosi, dan kemuliaan pekerti.

Kesan rantaian ini amat membimbangkan. Apabila graduan yang dilatih akhirnya culas dan gagal menyesuaikan diri, bakal pelajar akan menjauhi menara ilmu. Mereka akan lebih selesa memilih portfolio pekerjaan yang ringkas dengan imbuhan pantas. Akhirnya, keinginan untuk menguasai ilmu di peringkat yang lebih tinggi akan dipinggirkan, sekali gus merencatkan pembangunan modal insan negara.

Berubah segera atau kekal selesa?

Pada era maklumat telah menjadi komoditi yang murah, sifir “Belajar Cara Belajar” (Learn How to Learn) adalah pra syarat mutlak kejayaan. Ekosistem kampus tidak boleh lagi berfungsi sekadar sebagai arkib nota dan pusat syarahan sehala. Universiti mesti membina keupayaan kognitif pelajar untuk beradaptasi, melombong maklumat secara kritis, menguasai kemahiran siap siaga masa hadapan dan kebolehpasaran secara mandiri.

Universiti memerlukan sistem Pemprofilan Berasaskan AI (AI-Driven Profiling) yang berupaya memetakan potensi pelajar secara holistik sejak hari pertama pendaftaran. Sistem ini sangat kritikal untuk mengenal pasti kecenderungan bakat secara saintifik dan objektif. Paling utama, sistem ini mesti berupaya membandingkan keupayaan semasa pelajar dengan jurang industri secara masa nyata bagi memastikan lengkuk akademik pelajar sentiasa selari dengan keperluan pasaran kerja.

Apabila adab menuntut ilmu disinergikan bersama teknologi, tahap efikasi kendiri pelajar berupaya meningkat secara semula jadi. Pelajar tidak lagi bergerak secara rawak, mereka dilatih memilih aktiviti berpandukan “peta jalan dinamik” yang dijana melalui Pengalaman Pembelajaran Diperibadikan (Personalised Learning Experience), sekali gus mengoptimumkan potensi diri.

Pendemokrasian pendidikan memerlukan Pengalaman Pembelajaran Terancang (Structured Learning Experience – SLE) yang koheren. Apabila AI mampu menyelesaikan tugasan kompleks, membina slaid pembentangan, menyemak laporan, membangunkan peta minda, malah menjana audio siar serta video, peperiksaan tradisional yang berasaskan hafalan sudah menjadi tidak relevan. Universiti mesti memimpin pengembangan pemikiran pelajar berasaskan konsep perancah (scaffolding), iaitu melalui fasa penerokaan, pembangunan, pengembangan, dan profesionalisme, sebagai akar di kampus.

Justeru, peralihan kepada Penilaian Tulen (Authentic Assessment) bukanlah lagi pilihan. Keupayaan pelajar memerlukan penilaian komprehensif hasil penyelesaian masalah sebenar, simulasi krisis industri, serta penghasilan produk inovatif demi masyarakat. Langkah ini secara langsung menamatkan model pengajaran one size fits all yang telah lama membelenggu kreativiti dan potensi unik pelajar.

Dengan kepesatan teknologi yang semakin tidak tertakrif, elemen tunggal yang tidak boleh ditiru oleh mesin adalah Adab atau Kemuliaan Insan (Dignity). Pendidikan berteraskan nilai mesti menjadi tunjang utama. Peranan universiti sebagai agen memupuk integriti dan empati mesti disegarkan semula. Adab bukan sekadar ketetapan hadir wajib atau mencukupkan kredit dalam kursus umum, tetapi menjadi paksi kompas moral dalam melahirkan graduan kompeten untuk mengemudi teknologi tanpa menghancurkan nilai kelestarian.

Anjakan strategik: Bukan lagi pilihan

Universiti tiada pilihan lain dan beradaptasi dengan segera. Tiga anjakan strategik berikut wajar diperhalusi oleh setiap pemegang taruh:

  • Evolusi peranan pensyarah melalui SoTL

Universiti yang dinamik memerlukan pendidik yang menguasai Kesarjanaan Pengajaran dan Pembelajaran (Scholarship of Teaching and Learning – SoTL). Model The Stanford 2025 oleh Stanford University menerusi empat (4) provokasi (Open-loop University, Paced Education, Axis Flip, Purpose Learning) membuktikan agenda memikirkan semula naratif pendidikan tinggi adalah mandatori. Kerencaman jurang generasi pensyarah-pelajar juga memerlukan set semula semua pihak. Menerusi SoTL, pensyarah mesti bersedia memimpin perubahan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Apabila pelajar bersahabat dengan AI, pensyarah adalah munsyi yang kekal utuh membimbing metodologi pemikiran dan kemanusiaan anak didiknya.

  • Ekosistem pembelajaran berasaskan masalah (PBL)

Model pembelajaran di Aalborg Universitet yang memberdayakan pelajar menerusi keberanian integrasi kurikulum dengan masalah sebenar industri dan komuniti amat diperlukan. Pembelajaran Berasaskan Projek dan Masalah (Project-based & Problem-based Learning – PBL/PoPBL) yang berpusatkan pelajar memurnikan peranan universiti tradisional yang cenderung berpusatkan pensyarah. Menerusi kerangka SLE, pelajar tidak lagi mengambil kursus yang terasing secara silo, sebaliknya dipimpin menyelesaikan cabaran industri yang bersifat silang disiplin. Kesedaran tinggi terhadap Persekitaran, Sosial dan Governan (Environmental, Social, Governance – ESG) serta penyahkarbonan juga harus digabung jalinkan sebagai bukti bahawa pendidikan adalah untuk memanusiakan manusia.

  • Pengoperasian ‘Navigator AI’ solusi kesenjangan bakat

Mengambil contoh transformasi radikal AI oleh Arizona State University (ASU), universiti di Malaysia harus segera bertindak. Data raya pencapaian akademik, demografi, serta metrik keterlibatan pelajar menerusi analitik pembelajaran mesti dimanfaatkan oleh algoritma AI untuk menyediakan pelan intervensi dan sokongan awal. Modus operandi ini amat signifikan, khususnya bagi kumpulan SULUNG (First in Family), agar mereka terpimpin dan cemerlang. AI juga harus diperkasa untuk menganalisis pola pasaran kerja masa nyata dan membandingkannya dengan set kemahiran semasa pelajar, sekali gus mencadangkan pengukuhan kompetensi yang boleh mengecilkan jurang kebolehpasaran.

Mencipta destini

Kekal beralasan hanya akan menyebabkan Malaysia terus terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap). Tanpa tenaga kerja yang mahir teknologi, cekap dalam prinsip kelestarian, dan mempunyai jati diri yang utuh, pelaburan asing akan beralih ke negara jiran yang mempunyai ekosistem bakat lebih tangkas dan kompetitif.

Sudah tiba masanya kepimpinan universiti berhenti sekadar mengurus status quo, tetapi tampil bermuhasabah dan berani mencoraknya semula untuk mencipta destini. Ini bukan soal menambah baik apa yang ada, tetapi soal melakukan set semula terhadap falsafah dan kerangkanya agar universiti kekal menjadi obor hemah kemajuan negara bangsa, dan bukannya muzium teknologi.

Akhirnya, universiti tidak lagi boleh berada di persimpangan dilema. Berubah atau rebah? Letakkan adab sebagai kompas dan inovasi sebagai enjinnya. Semuanya ini perlu, sebelum universiti sekadar menjadi muzium kepada sebuah sistem yang gagal beradaptasi dengan zaman!

 

 

Profesor Dr. Afandi  Ahmad

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

***

Profesor, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com):, 6 Februari 2026 Universiti: Menara ilmu atau muzium teknologi?

https://malaysiagazette.com/2026/02/06/universiti-menara-ilmu-atau-muzium-teknologi/