Oleh Haszrinaz Husain@Hashim, Norfauzan Md Sarwin

BATU PAHAT, 3 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Pengurusan Organisasi (PPO) telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Bersama Pengurusan Universiti Sempena Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Program itu merupakan inisiatif universiti dalam memperkasa komuniti OKU UTHM serta memperkukuh pemahaman mengenai kepentingan masyarakat yang inklusif dan responsif.

Bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial,” majlis disempurnakan oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Beliau dalam ucapannya berkata UTHM komited untuk terus menyantuni kepelbagaian keupayaan warga kampus serta menyediakan sokongan yang komprehensif kepada komuniti OKU.

“Penganjuran program sebegini merupakan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa agenda UTHM Cakna OKU, sekali gus menyokong objektif kebangsaan sempena Hari OKU Sedunia,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian alat bantuan bernilai RM6,380 kepada pelajar OKU, sumbangan daripada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebagai usaha menyokong keperluan pembelajaran dan kesejahteraan pelajar OKU secara berfokus.

Selain itu, majlis juga meraikan empat bakal Graduan OKU UTHM, terdiri daripada graduan peringkat sarjana dan sarjana muda, yang bakal menerima ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 11 Disember 2025 ini.

Pengiktirafan itu menjadi simbol apresiasi universiti terhadap ketabahan, usaha gigih dan pencapaian akademik mereka sepanjang pengajian.

Turut diadakan, sesi perkongsian inspirasi bersama Nur Arif, ikon al-autisme, yang tampil bersama seorang Clinical Psychologist dari International Islamic University Malaysia (IIUM).

Perkongsian itu menyentuh tentang potensi individu autisme serta kepentingan sokongan komuniti, keluarga dan institusi pendidikan dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang inklusif.

Selain itu, turut berlangsung persembahan budaya oleh Pelajar Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) di bawah bimbingan Exco Warisan dan Kebudayaan, yang menghidupkan suasana dengan elemen seni dan warisan budaya.

Untuk rekod, program itu turut menerima sokongan penajaan daripada Yayasan UTHM (rakan strategik), Al-Gazel Medical, Klinik Anda Muar Sdn. Bhd., Klinik Pergigian Kristal, Klinik Ezna (Diri Healthcare Sdn. Bhd.) dan Poliklinik Falah Medica, di samping beberapa penyumbang lain yang turut memberikan sokongan bagi menjayakan penganjuran majlis itu.