Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Ketika rakan sebaya sibuk merancang masa depan di universiti, Abdullah Abduraman,26 hanya mampu berdiam dan menyimpan impian dalam hati.
Anak muda dari keluarga sederhana itu tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dia akan berdiri di pentas Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), satu pengiktirafan tertinggi bagi graduan cemerlang di Malaysia.
Abdullah, graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), bukanlah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan hanya 1A, beliau tidak pernah menjadikan pencapaian itu sebagai noktah, sebaliknya sebagai permulaan.
Ketika menyambung pengajian di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dalam bidang Kejuruteraan Elektronik, beliau membuktikan keazaman mampu mengatasi segalanya apabila menamatkan pengajian dengan CGPA 3.80 dan menerima Anugerah Pengarah.
Namun, kekangan kewangan hampir memadamkan harapannya untuk menyambung ke peringkat ijazah.
“Saya tahu keluarga saya tidak mampu lalu saya simpan sahaja niat itu dan memilih untuk bekerja,” ujarnya.
Ketika negara dilanda pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Abdullah bekerja di sektor F&B dan kemudian sebagai juruteknik di sebuah kilang.
Mulai saat itu beliau mula membuat tabungan sedikit demi sedikit, demi masa depan yang tidak pasti.
Detik perubahan hidupnya hadir melalui satu panggilan telefon ketika sedang bekerja.
“Saya terduduk dan terus menangis kerana itulah panggilan paling bermakna dalam hidup saya,” katanya mengimbas saat diberitahu beliau ditawarkan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik (PCP).
Dengan hati yang penuh rasa syukur, beliau menjejakkan kaki ke UTHM pada tahun 2022.
Berbekal semangat dan tekad untuk mengulangi kejayaan semasa diploma, Abdullah terlibat aktif dalam pelbagai program kepimpinan, akademik dan kemasyarakatan termasuklah pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar.
Kini segala jerih payah itu dibalas kerana Anugerah Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bukan sekadar pengiktirafan, ia lambang harapan, bukti bahawa latar belakang bukan halangan untuk berjaya.
“Dengan penuh rendah hati, saya berharap kisah ini mampu menjadi inspirasi kepada anak muda lain agar tidak takut bermimpi besar, meskipun bermula dari bawah,” katanya.
