Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 5 Dis 2025 – Seramai  192 orang daripada jumlah keseluruhan 247 graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dirai dalam Majlis Pemakaian Hud dan Jamuan Siswazah 2025 Kali Ke-13 yang berlangsung di Maple Hall, Orchid Event Space, The Summit Batu Pahat.

Majlis tersebut bertujuan untuk menzahirkan penghargaan universiti terhadap usaha dan komitmen graduan serta penyelia dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin hadir menyempurnakan majlis tersebut.

Prof. Shahruddin dalam ucapannya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan, penyelia utama dan para penerima anugerah.

Beliau dalam ucapannya menyeru para graduan agar terus menghargai pengorbanan penyelia dan keluarga yang banyak memberikan bimbingan, masa dan sokongan sepanjang perjalanan pengajian mereka.

“Sebagai alumni dan duta kecil UTHM, saya berharap para graduan mampu berdaya saing serta mengharumkan nama universiti dan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc;  Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Mohamad Zaky Noh dan para Dekan.

Turut diadakan, penyampaian beberapa anugerah pascasiswazah iaitu Academic Excellence Awards, Best Publication Awards, Best Innovation Awards, Best Leadership and Service Awards, serta Best Alumni Excellence Awards.

Buat julung kalinya, penganjuran tahun ini turut memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu Outstanding Supervision Awards, Outstanding Postgraduate Performance Awards dan Excellence Enrolment Awards sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikan, bimbingan akademik serta prestasi fakulti.

Penganugerahan itu bukan sahaja meraikan pencapaian ilmiah dan inovasi para penerima, tetapi juga menonjolkan komitmen universiti dalam membina budaya kecemerlangan yang berterusan.