PUTRAJAYA – Daripada 12 calon pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dihantar, tujuh pelajarnya berjaya terpilih ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 (ATSN 2025) yang diadakan pada 1 Oktober lalu bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.
Mereka terdiri daripada Muhammad Shahrulazmi Hashim, finalis bagi kategori Anugerah Tokoh Siswa Negara, Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa, Muhammad Iqbal Maidin bagi Anugerah Tokoh Sukan Rekreasi Siswa, Nur Raudah Amran bagi Anugerah Tokoh Usaha Inovasi Siswa, Tengku Zarith Hazlin Tengku Zainal Abidin bagi Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa, Tc. Muhammad Nazmi Mohd Nasir bagi Anugerah Tokoh Perpaduan Siswa dan Ho Ze Zong bagi Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, walaupun tujuh pelajar tersebut tidak berjaya meraih apa-apa anugerah, namun kejayaan mereka terpilih sebagai finalis turut membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan pelajar IPT yang lain.
“Pencapaian ini membuktikan peningkatan yang signifikan berbanding tahun lalu.
“UTHM menyifatkan kejayaan ini sebagai satu suntikan semangat kepada seluruh mahasiswa IPT untuk terus menyerlah dalam pelbagai bidang kepimpinan, akademik, sukan, kesukarelawanan dan inovasi,” katanya.
Untuk rekod, ATSN 2025 diadakan bertujuan mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta pencapaian pelajar dan badan pelajar di IPT.
Selain itu, ia juga berperanan sebagai pemangkin motivasi mahasiswa untuk terus bergiat aktif di kampus, di samping memupuk semangat nasionalisme dan kebolehsaingan.
Pelaksanaan anugerah itu selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 iaitu melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
Pada tahun ini, sebanyak 13 kategori anugerah baharu telah diperkenalkan iaitu Anugerah Tokoh Siswa Negara, Tokoh Kepimpinan Siswa, Tokoh Usaha Inovasi Siswa, Tokoh Sukan Rekreasi Siswa, Tokoh Sukarelawan Siswa, Tokoh Perpaduan Siswa, dan Tokoh Kelestarian Siswa.
Majlis anugerah itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Manakala UTHM pula turut dihadiri oleh Prof. Abdul Rasid, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Ts. Dr. Khalid Isa dan Ketua Jabatan Pemerkasaan Bakat Pelajar, Profesor Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani.

