JOHOR BAHRU, 26 Okt 2025 – Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi rakan strategik kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Medini dalam penganjuran International Co-Curricular Carnival 2025, sebuah program bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pelajar dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Karnival itu bertujuan memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran pelajar melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum berasaskan pembelajaran pengalaman sebenar (hands-on), di samping memupuk nilai murni seperti kerjasama, toleransi, disiplin dan semangat berpasukan.

Sebagai rakan strategik, ICRC UTHM dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) serta Makerspace UTHM, telah menganjurkan program STEM Venture @ SK Medini yang menjadi tumpuan utama sepanjang karnival berlangsung.

Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Sekolah Angkat UTHM, yang berperanan memperkukuh hubungan universiti–komuniti melalui pendekatan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah rendah.

Melibatkan 256 pelajar sekolah rendah dari dalam dan luar negara, program itu turut disertai oleh 59 pelajar dan 23 staf UTHM yang bertindak sebagai fasilitator dan juri dalam pelbagai aktiviti pertandingan yang dijalankan.

Sebanyak lima modul pertandingan STEM telah dilaksanakan iaitu Water Rocket, Bridge Building, STEM Explorace, Pertandingan Drone dan Bengkel Robotik.

Pelbagai aktiviti menarik berjaya mencetuskan keterujaan peserta antaranya pelancaran roket air yang meluncur tinggi ke udara dan pertandingan bina jambatan yang menguji kreativiti dan ketahanan struktur rekaan pelajar.

Aktiviti STEM Explorace pula memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan konsep sains dan matematik secara menyeronokkan, manakala Pertandingan Dron dan Bengkel Robotik memperkenalkan mereka kepada teknologi terkini dalam bidang robotik, automasi dan penerbangan.

Menurut Pengarah ICRC UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin, penganjuran program itu bukan sekadar platform untuk memupuk minat terhadap bidang STEM, tetapi juga merupakan usaha memperkukuh hubungan universiti-komuniti serta memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa melalui penglibatan sekolah dari negara jiran.

“Program ini adalah manifestasi komitmen UTHM dalam memperkasakan komuniti melalui inisiatif ‘Sekolah Angkat’ yang berimpak tinggi.

“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini dalam membentuk generasi muda yang celik STEM, berdaya saing dan berwawasan,” katanya.

UTHM komited untuk terus menjadi rakan strategik kepada pelbagai institusi pendidikan dalam dan luar negara bagi memperkasa pendidikan komuniti serta melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 29 Oktober 2025: STEM Venture@SK Medini meriahkan International Co-Curricular Carnival 2025

STEM Venture@SK Medini meriahkan International Co-Curricular Carnival 2025