Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Omar Mohd Faizan Marwah
Bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab latihan dan pembuatan aeroangkasa serantau menjelang 2030, Belanjawan 2026 akan datang diharap dapat terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur aeroangkasa, fasiliti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta penyelidikan dan inovasi teknologi.
Harapan itu turut dikongsikan oleh warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini berada dalam ekosistem pendidikan dan industri aeroangkasa negara melalui pembangunan UTHM Aerospace Technopark @ Tanjung Laboh.
Projek berimpak tinggi itu bakal menjadikan UTHM sebagai universiti pertama di Asia Tenggara yang memiliki lapangan terbang sendiri, lengkap dengan fasiliti hangar, pusat latihan penerbangan, serta kemudahan Kawalan Trafik Udara (ATC) yang bakal diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan pelaburan strategik bagi merangsang pertumbuhan industri berteknologi tinggi termasuk aeroangkasa, selaras dengan hasrat memperkukuh ekosistem rantaian nilai industri tempatan.
Berdasarkan laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perolehan industri aeroangkasa Malaysia diunjurkan meningkat antara 20 hingga 25 peratus pada tahun ini, berbanding RM25.1 bilion (AS$5.93 bilion) pada 2024.
Pencapaian itu hanya dapat direalisasikan melalui kekuatan model Triple Helix iaitu kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dan industri yang secara harmoni melonjakkan sektor aeroangkasa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, UTHM bakal muncul sebagai hab latihan, penyelidikan dan pembangunan TVET aeroangkasa negara, yang menyatukan kepakaran dalam bidang juruterbang profesional, penyelenggaraan pesawat (MRO), pembuatan komponen dan mengintegrasikan pembangunan Low Altitude Economy seperti teknologi dron, pesawat ringan, serta pesawat elektrik (eVTOL).
Dari perspektif dasar nasional, pembangunan UTHM Aerospace Technopark sejajar dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkukuh agenda TVET dan menjadikan universiti awam sebagai Hab TVET Serantau.
”Inisiatif ini membolehkan pelajar dan penyelidik berinteraksi secara langsung dalam ekosistem industri sebenar yang merangkumi penyelenggaraan pesawat, pembuatan komponen, integrasi sistem digital dan pembangunan teknologi penerbangan masa depan.
”Pada masa yang sama, inisiatif ini turut mendukung aspirasi New Industrial Master Plan (NIMP) dengan mempercepat transformasi industri negara kepada industri bernilai tambah tinggi, berasaskan teknologi, serta berupaya menarik pelaburan asing (FDI) dalam sektor aeroangkasa sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi ke rantau selatan tanah air,” katanya.
Di samping itu, pembangunan itu secara langsung menyokong sasaran Kerajaan Negeri Johor yang menyasar sektor aeroangkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negeri melalui penggalakan pelaburan strategik dan pembinaan ekosistem aeroangkasa negeri di Johor.
Seiring dengan momentum ini, Belanjawan 2026 diharap dapat terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur aeroangkasa serta penyelidikan dan inovasi teknologi agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh industri tempatan, sekali gus melonjakkan daya saing negara di peringkat global dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
