Oleh Munirah Mohd Yusof, Haszrinaz Hussain

KOREA SELATAN, 22 Okt 2025 – Seramai 10 kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menawan puncak Gunung Hallasan, gunung tertinggi di Korea Selatan, sekali gus mengibarkan bendera universiti di puncak setinggi 1,947 meter dari paras laut.

Misi pendakian itu diketuai oleh Dr. Mohamad Aizi Salamat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) bersama sembilan lagi staf UTHM iaitu Prof. Ir. Dr. Md. Saidin Wahab (Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan), Munirah Mohd Yusof (FSKTM), Ezuan Jamil (Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan), Lokman Hakim Jamil (Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat), Ts. Dr. Anizam Mohamed Yusof (Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional), Hazifa Hani Ramli (Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Haszrinaz Husain @ Hashim (Pejabat Pengurusan Organisasi) dan Norsaleha Ali (Pusat Pengajian Diploma).

Gunung Hallasan yang terletak di Pulau Jeju merupakan gunung berapi tidak aktif yang menjadi mercu tanda utama pulau tersebut serta sebahagian daripada Taman Nasional Hallasan, kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Gunung itu terkenal dengan keindahan ekosistemnya yang pelbagai, merangkumi hutan subur, kawasan berbatu dan kawah gunung berapi dikenali sebagai Baengnokdam atau ‘Kawah Rusa Putih.’

Menurut Dr. Aizi, misi pendakian itu dilaksanakan bagi menguji ketahanan fizikal dan mental serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan kakitangan pelbagai fakulti.

“Pendakian ini memberi kami peluang untuk menilai kemampuan diri dan memperkukuh daya tahan apabila berhadapan dengan persekitaran yang mencabar,” katanya.

Bagi memastikan kejayaan misi, para peserta telah menjalani latihan kecergasan dan ketahanan secara berterusan sebelum memulakan ekspedisi.

Laluan Seongpanak Trail dipilih sebagai trek utama dengan jarak sejauh 9.6 kilometer sehala, menjadikan keseluruhan perjalanan mendaki dan menuruni gunung kira-kira 19.2 kilometer.

Para pendaki berdepan pelbagai cabaran seperti laluan berbatu dan bertangga curam namun tetap bersemangat meneruskan perjalanan.

“Walaupun keletihan, pemandangan indah sepanjang pendakian memberi motivasi untuk kami terus melangkah ke puncak.

 “Kami bersyukur kerana berjaya menamatkan misi ini dengan selamat, malah pendakian ini mengajar kami nilai kesabaran, kerjasama dan ketekunan,” tambah Dr. Aizi.

Kejayaan misi pendakian ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada warga UTHM untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif serta memperkukuh semangat kekitaan dan jati diri dalam kalangan staf universiti.