Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Haslinda Abas, Prof Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan, Ir. Ts. Dr. Tong Yean Ghing
VIETNAM – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengunjungi tiga universiti di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 25 hingga 29 Jun 2025 lalu bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Tiga universiti terbabit iaitu International University – Vietnam National University Ho Chi Minh City (IU-VNU HCM), Ho Chi Minh City University of Science dan Vietnam-Germany University (VGU) bakal bekerjasama dengan UTHM dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pembangunan akademik secara bersama.
Hasil kunjungan iu, ketiga-tiga universiti tersebut menyatakan persetujuan awal untuk menjalinkan kerjasama dengan UTHM, termasuk cadangan penawaran program dwi-ijazah dan penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan dan alam bina.
UTHM diwakili oleh tiga orang pensyarah kanan iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Haslinda Abas dan Ir. Ts. Dr. Tong Yean Ghing, bersama 10 pelajar FKAAB.
Delegasi tersebut turut mengadakan pembentangan rasmi mengenai potensi kerjasama, disusuli sesi rundingan yang produktif bersama pentadbir dan penyelidik universiti terbabit.
Mereka juga berpeluang melawat makmal penyelidikan yang dilengkapi dengan teknologi canggih dan fasiliti pembelajaran yang lengkap bagi membuka peluang kolaborasi dalam bidang inovasi kejuruteraan, teknologi bahan lestari dan pembangunan bandar mampan.
Selain itu, mereka turut diberi penghormatan mengadakan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman yang berjaya menarik perhatian warga universiti tempatan.
Menurut Dr. Rafidah, pendedahan langsung terhadap amalan akademik dan budaya penyelidikan di Vietnam memberi impak besar kepada mereka dan pelajar yang terlibat.
“Ia bukan sahaja mengukuhkan pemahaman terhadap pendekatan antarabangsa dalam pendidikan tinggi, malah mencetuskan inspirasi untuk meneroka dimensi baharu dalam inovasi dan penciptaan ilmu.
“Menariknya, lawatan ini turut memperlihatkan elemen pengantarabangsaan yang menyeluruh apabila diselitkan dengan aktiviti eksplorasi budaya di lokasi bersejarah seperti Muzium Sisa Perang, Muzium Sejarah Vietnam dan Saigon Notre-Dame Basilica.
“Aktiviti ini menyemai semangat keterbukaan dan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya global dalam kalangan peserta,” katanya.
Kunjungan seumpama itu mencerminkan usaha dan komitmen UTHM dalam memartabatkan jaringan antarabangsa, sekali gus menunjukkan kesungguhan universiti dalam menjadikan pendidikan tinggi negara lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

