Oleh Dr. Mohd Shahir Yahya
BATU PAHAT – Suasana penuh semangat dan keinsafan menyelubungi perkarangan Masjid Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus induk pada 25 Mei lalu apabila hampir 300 peserta menyertai program “Langkah Kecil ke Baitullah 2025.”
Program tersebut merupakan sebuah simulasi ibadah haji yang memberi pendedahan dan pengalaman awal kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.
Ia diisi dengan pelbagai aktiviti simulasi ibadah seperti tawaf, sa’ie, melontar jamrah serta taklimat ringkas berkenaan rukun dan wajib haji yang disampaikan dalam bentuk interaktif dan mudah difahami.
Menariknya, para ibu bapa, guru dan fasilitator turut diberi peluang untuk turut serta dalam aktiviti tersebut sekali gus memberi pengalaman bermakna yang penuh dengan semangat kekeluargaan.
Program tersebut dianjurkan oleh Kursus Kokurikulum Berkredit Umrah dan Haji, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM dengan kerjasama Tadika Islam Seri Gading, Pusat Islam UTHM serta Tabung Haji Batu Pahat.
Manakala majlis perasmiannya pula disempurnakan oleh Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kolaboratif semua pihak dalam mendidik anak-anak kecil mengenali ibadah kelima dalam Rukun Islam.
“Pendedahan awal seperti ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman agama, malah memupuk nilai murni seperti kesabaran, kebersamaan dan keikhlasan dalam kalangan anak-anak sejak kecil.
“Dengan sambutan yang amat menggalakkan, program ini dilihat mampu menjadi program tahunan yang menyemai kecintaan kepada ibadah haji dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Program itu juga menjadi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar UTHM yang mengikuti kursus kokurikulum berkredit Umrah dan Haji, sebagai fasilitator dan penyelaras aktiviti lapangan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Guru Tadika Islam Seri Gading (TISEGA), Puziah Sabdun pula berkata para peserta begitu teruja dapat ‘menunaikan haji’ bersama rakan dan ibu bapa mereka.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja mendidik dan memberi ilmu baharu, malah mampu meninggalkan kenangan manis buat mereka,” katanya.




