Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 9 Jun 2025 – Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengorbankan 24 ekor lembu dan 11 ekor kambing untuk diagihkan kepada golongan asnaf, warga kampus serta komuniti setempat.

Program Korban UTHM 2025 yang dilaksanakan di rumah sembelihan sementara Masjid Sultan Ibrahim UTHM itu telah diselaraskan oleh Pusat Islam, dengan bantuan 70 sukarelawan terdiri daripada staf dan penduduk sekitar.

Lebih bermakna, UTHM turut menerima sumbangan seekor lembu dari pihak RHB Bank Berhad.

Menurut Pengarah Pusat Islam, Haji Shafry Salim, lebih 2000 kilogram daging diagihkan pada program korban kali ini.

“Lebih 700 kilogram daripada jumlah tersebut diagihkan kepada golongan asnaf, manakala bakinya diagihkan kepada peserta korban, staf, pelajar dan penduduk sekitar,” katanya.

Tambah beliau, antara kumpulan yang menerima agihan pada kali ini adalah asnaf dari beberapa kampung sekitar UTHM, Madrasah Darul Hufaz Al-Imtiyaz, penduduk Orang Asli di Parit Sulong, pekerja kontrak pembersihan di UTHM, pekerja Southern Waste Management (SWM) Seri Gading, serta asnaf dari kariah Masjid Riyadus Solihin Parit Raja.

Untuk rekod, UTHM menganjurkan program sebegitu saban tahun bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Aidiladha peringkat universiti, sekali gus sebagai tanda prihatin dalam menyalurkan sumbangan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.

“Selain merupakan salah satu ibadah yang dituntut oleh agama Islam, pelaksanaan program ibadah korban ini juga diharap dapat menyemai semangat kerjasama serta mempereratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan staf universiti dan penduduk setempat,” ujar Haji Shafry.