Oleh Dr. Mohd Hafizal Hanipah, Dr. Nur Ain Ebas

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan sebuah program khidmat masyarakat berskala besar dengan menjalankan 53 aktiviti dalam tempoh enam hari dan telah memberi manfaat kepada lebih 3,500 penduduk setempat.

Program bersempena ‘Minggu FKAAB Bersama Komuniti’ di bawah inisiatif “FKAAB: We Care” itu dilaksanakan pada 13 hingga 18 Mei 2025 lalu dengan tema “FKAAB Prihatin: Menyemai Bakti, Membina Solusi.”

Program berimpak tinggi itu dilaksanakan di sekitar kawasan Kampung Selulun, Kampung Parit Kassim, Kampung Bukit Rahmat dan Kampung Parit Lapis Ismail Mukim 4 Sri Gading serta di sekolah terpilih di sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat.

Menurut Dekan FKAAB, Prof. Ir. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim yang juga penasihat program, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan keterlibatan warga universiti dalam pembangunan komuniti melalui pendedahan pelajar kepada realiti kehidupan masyarakat, pemindahan ilmu dan kemahiran serta pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memperkasakan komuniti.

“Pelbagai aktiviti yang berteraskan tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Service Learning Malaysia (SULAM)-Universiti untuk Masyarakat, pemindahan ilmu, inovasi dan keusahawanan sosial telah berjaya dilaksanakan bersama komuniti setempat.

“Penganjuran program seumpama ini diharap menjadi permulaan kepada usaha jangka panjang dalam membina hubungan dua hala yang kukuh antara universiti dan masyarakat luar bandar,” katanya.

Manakala pengerusi program, Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan pula berkata program itu juga berperanan dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat, selain dapat menyemai kesedaran sosial dalam kalangan pelajar, menggalakkan inovasi dalam penyelesaian isu masyarakat, membina keupayaan keusahawanan sosial, serta meningkatkan penyertaan aktif staf akademik dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tambah beliau, salah satu pengisian utama program ialah pelaksanaan Program Ilmuan UTHM Madani yang merupakan inisiatif di bawah anjuran Majlis Profesor UTHM (MPU) dengan kerjasama FKAAB.

Program itu merupakan salah satu usaha ke arah perkongsian ilmu dan kemahiran teknikal yang relevan kepada komuniti bagi menyokong pembangunan mampan serta menangani isu-isu tempatan secara lebih efektif.

Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan percuma serta klinik pergigian bergerak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia (JUPEM) oleh Kementerian Sumber Asli & Kelestarian Alam (NRES).

Manakala majlis penutup yang diadakan di Kampung Selulun, Batu Pahat pula diisi dengan aktiviti sukaneka dan kenduri rakyat, yang bertujuan menyatukan komuniti melalui gotong-royong menyediakan juadah dengan menumbangkan seekor lembu.

Hadir sama ke majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin

Untuk rekod, program tersebut turut mendapat penajaan daripada Yayasan UTHM, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM, BP Renal Care, FKAAB Consult Sdn. Bhd., Mayang Sari Ekspress, serta individu-individu perseorangan yang tampil menyumbang demi menjayakan misi kebajikan ini.

Usaha ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dan staf universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, tetapi turut membuka ruang perkongsian ilmu, kepakaran dan kemanusiaan, selaras dengan aspirasi UTHM sebagai universiti teknikal yang berjiwa rakyat.