Oleh Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad

BATU PAHAT, 26 April 2025 – Seramai 125 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SEHEBAT) berpeluang menerokai ilmu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui program Program Service-Learning Malaysia (SULAM) anjuran Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program bertemakan “Detektif Keselamatan dan Kesihatan” yang berlangsung di Dewan Sri Banang itu memberi peluang kepada pelajar bertindak sebagai ‘detektif’ yang menjalankan misi mengenal pasti bahaya, menilai risiko, mengawal risiko, serta meneroka ilmu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Program yang dilaksanakan melalui Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu melibatkan penyertaan 20 pelajar tahun dua program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) yang bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana, pempamer dan fasilitator.

Program SULAM itu diisi dengan beberapa aktiviti interaktif antaranya ceramah mengenai kepentingan dan pelaksanaan KKP, sesi perkongsian hala tuju pendidikan dan kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan KKP, tayangan video kajian kes mengenai teknik Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) dan kuiz untuk menguji kefahaman peserta dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.

Selain itu, sesi amali ‘detektif’ turut dilaksanakan apabila para peserta terbabit menjalankan penilaian HIRARC secara langsung di kawasan sekolah.

Manakala pameran turut diadakan meliputi aspek KKP di industri, ergonomik, bunyi dan getaran, kualiti udara dalaman, bahan kimia serta program akademik UTHM.

Pensyarah kursus, Prof. Madya Ts. Dr. Musli Mohammad yang berperanan sebagai penasihat program turut menyampaikan ceramah untuk program tersebut.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pemahaman pelajar sekolah terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tetapi juga menyemai rasa tanggungjawab yang lebih tinggi dalam kalangan peserta untuk menjaga keselamatan diri serta komuniti.

“Para peserta telah menunjukkan kemahiran mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko keselamatan dan kesihatan menggunakan kaedah HIRARC dan hasilnya mereka dilihat lebih yakin berkongsi ilmu KKP bersama rakan sebaya dan komuniti sekolah.

“Selain itu, program ini turut memberi manfaat kepada pelajar UTHM yang berpeluang mengaplikasikan teori, memperkukuhkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja,” katanya.

Dr. Musli turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, guru dan para pelajar SEHEBAT atas komitmen tinggi dan sokongan padu yang diberikan sehingga program itu berjaya dilaksanakan.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memperkukuhkan budaya keselamatan dan kesihatan dalam kalangan generasi muda,” katanya.