Oleh PM Ts. Dr. Omar Mohd Faizan Marwah
JEPUN – Bagi menambah baik program akademik dan memperkukuh jaringan strategik antarabangsa dalam bidang aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif untuk meneroka teknologi dan kepakaran beberapa institusi pendidikan di Jepun pada 23 hingga 25 Februari 2025 lalu.
Delegasi yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Amir, Dekan FKMP, bersama Prof. Madya Dr. Omar Mohd Faizan, Ketua Jabatan Kejuruteraan Pembuatan, Ts. Dr. Mohd Fadhli, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik dan Prof. Dr. Erween, ahli Taskforce Pembangunan Kampus Tanjung Labuh itu bertujuan untuk menjalinkan beberapa kerjasama di sana dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Antaranya bagi menjalin kerjasama dalam bentuk pertukaran pelajar, pemindahan teknologi serta penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan penyelenggaraan pesawat, pembuatan pesawat dan helikopter, avionik, serta teknologi baharu dalam industri aeroangkasa.
Ia juga merupakan satu langkah awal ke arah pembangunan Kampus Aeronautik UTHM di Tanjung Labuh, yang dirancang sebagai pusat kecemerlangan latihan dan penyelidikan teknologi penerbangan di peringkat antarabangsa.
Antara institusi yang terlibat, College of Naka-Nippon Aviation (CNA) iaitu sebuah institusi latihan kemahiran berteraskan industri yang menawarkan program dalam penyelenggaraan pesawat, pembuatan pesawat, avionik, teknologi robotik, dron, serta latihan Cabin Crew dan Ground Staff.
CNA turut menawarkan kursus khusus bagi lesen penyelenggaraan pesawat kelas dua dengan pengkhususan dalam enjin turbin, enjin piston dan enjin helikopter.
Manakala di Tokyo University of Agriculture and Technology (TUAT) pula, delegasi turut berbincang dengan pakar bidang dan meneliti kepakaran universiti itu dalam teknologi pemesinan berketepatan tinggi (high-precision machining), bahan komposit, serta penyelidikan Additive Manufacturing (3D printing) untuk aplikasi aeroangkasa.
Sementara itu, delegasi juga berpeluang berbincang dengan penyelidik utama di Hiroshima Institute of Technology (HIT), yang mempunyai kepakaran dalam bidang combustion engineering, thermofluids, serta analisis enjin menggunakan bahan api lestari.
Perbincangan dengan Profesor Yatsufusa Tomoaki dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Pintar, bertumpu kepada kajian ke atas biofuel, hidrogen dan Sustainable Aviation Fuel (SAF) bagi UAV dan pesawat ringan.
Menurut Prof. Ts. Dr. Amir, kunjungan itu memberi peluang besar bukan sahaja dari aspek kerjasama penyelidikan dan akademik, tetapi juga dalam memperkukuh pembangunan TVET khususnya dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar.
“Kami melihat potensi untuk menambah baik program akademik sedia ada melalui pendedahan kepada pendekatan latihan industri Jepun yang berfokus kepada kompetensi, serta menyediakan kemudahan latihan dan ruang makmal yang sesuai dengan keperluan pendidikan teknikal dan vokasional berasaskan aeroangkasa,” katanya.
FKMP berharap usaha sebegitu dapat mengukuhkan kedudukan UTHM sebagai antara peneraju utama dalam pendidikan dan penyelidikan teknologi aeroangkasa di Malaysia dan peringkat serantau, sekali gus mempercepat usaha membangunkan Kampus Tanjung Labuh sebagai pusat TVET dan akademik bertaraf antarabangsa dalam bidang aeronautik.






