MOSCOW, RUSIA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh kedudukan antarabangsa apabila menghantar seramai 13 delegasi terdiri daripada 10 pelajar serta tiga pensyarah bagi menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Rusia.

Program yang dinamakan ’Mobiliti MyFimp 2025’ itu diketuai oleh Prof. Madya Ts Dr. Mohd Rasidi Ibrahim dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Madya Ts Dr. Nofrizalidris Darlis dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Dr. Mariyam Jamilah Homam dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).

Lawatan Akademik di Moscow Aviation Institute (MAI)

Lawatan itu diisi dengan beberapa aktiviti iaitu sesi pengenalan MAI melalui pembentangan dan tayangan video yang memaparkan kehidupan pelajar Malaysia di sana.

Manakala wakil UTHM, Dr. Rasidi turut menyampaikan pembentangan berkaitan kepakaran UTHM dalam bidang pembuatan pesawat serta membuka ruang perbincangan untuk kolaborasi pertukaran pelajar antara kedua-dua institusi serta kajian dan peluang kerjasama dalam teknologi pembuatan pesawat seperti Sukhoi dan MIG pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, wakil pelajar dari UTHM turut membentangkan projek sarjana mereka berkaitan pembuatan pesawat untuk perkongsian bersama.

Para peserta turut berpeluang melawat Hangar MAI dan Almas Orbital Station iaitu stesen angkasa sebelum menghadiri kelas teknikal bertajuk “Modelling of Composite Structure” dan merasai simulasi pesawat secara nyata.

Lawatan ke Moscow Power Engineering Institute (MPEI)

Manakala pada 18 April 2025, delegasi UTHM turut berkunjung ke Moscow Power Engineering Institute (MPEI) bagi membincangkan perkara berkaitan akademik dan pertukaran budaya.

Delegasi turut dibawa melawat institusi demonstrasi ruang angkasa MPEI-Hainan, Muzium GOERLO, Dewan Perhimpunan Utama serta jabatan berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan sistem tenaga elektrik.

Selain itu, peserta turut mengunjungi Pusat Latihan Ketenteraan MPEI dan mengadakan pertemuan bersama wakil MPEI bagi membincangkan kerjasama akademik masa depan.

Lawatan ke Russian University of Transport (RUT (MIIT)

Pada 21 April 2025, delegasi UTHM turut mengadakan lawatan akademik ke Russian University of Transport (RUT (MIIT).

Program tersebut diisi dengan beberapa ceramah teknikal berkaitan sains bahan komputer, penyelesaian masalah pembinaan menggunakan TRIZ, pembinaan landasan atas tanah lemah dan pengurusan projek pembinaan infrastruktur pengangkutan.

Selain itu mereka juga mengadakan lawatan ke makmal penyelidikan “Track Testing” dan depot lokomotif “Podmoskovnaya,” diikuti sesi santai di Red Square, Moscow untuk bertukar pengalaman dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi.

Penyertaan dalam Malaysian Intervarsity Games Moscow 2025

Bagi menyantuni jemputan Malaysia Russian Intervarsity Sport anjuran kedutaan Malaysia dan Russian Council of Malaysian Student (RCM), peserta program mobiliti UTHM turut mengambil bahagian dalam Malaysian Intervarsity Games Moscow 2025 yang berlangsung di Delos Sports Centre, Moscow dari 19 hingga 21 April 2025.

UTHM menghantar penyertaan dalam tiga acara utama iaitu Frisbee, Futsal dan Badminton bagi kategori perseorangan lelaki dan beregu campuran.

Program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar Malaysia di Rusia dan memperkukuhkan jaringan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rusia.

UTHM berharap pelaksanaan program mobiliti antarabangsa seumpama itu dapat memberi nilai tambah dan pengalaman berharga kepada para pelajar dan juga fakulti dalam meningkatkan lagi kecemerlangan universiti.