Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman, Dr. Norizan Ramele

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan Program Gerak Wira pada 11 April 2025 lalu, yang bertujuan memperkukuh semangat kenegaraan dalam kalangan mahasiswa, khususnya pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB).

Dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Dr. Lutfan Jaes, program itu melibatkan penyertaan seramai 1,500 pelajar KKB di kampus induk Parit Raja.

Objektif utamanya adalah bagi membentuk semangat cintakan negara dan sahsiah diri pelajar, di samping memupuk nilai-nilai seperti disiplin, kerjasama dan kemahiran kepimpinan yang amat penting untuk pembangunan peribadi mahasiswa.

Latihan asas kawad kaki menjadi fokus utama program ini, sambil dibantu oleh fasilitator dalam kalangan pelajar senior badan beruniform iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS), Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) dan Pasukan Bomba Bantuan Institusi.

Program Gerak Wira dianjurkan sebagai langkah responsif terhadap pelbagai cabaran semasa kenegaraan yang dihadapi Malaysia, seperti perpaduan kaum, kemerosotan semangat patriotisme, kepimpinan belia dan penghayatan sejarah dan identiti.

Program itu turut menyediakan platform bagi mahasiswa dari pelbagai latar belakang untuk bekerjasama, memupuk persefahaman dan menghormati kepelbagaian budaya yang menjadi asas perpaduan rakyat.

Aktiviti seperti nyanyian lagu ‘Negaraku,’ bacaan ikrar, bacaan ‘Rukun Negara’ dan latihan kawad kaki membantu menyemai semula rasa bangga serta cinta terhadap tanah air serta memperkukuh jati diri mereka sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab.

Selain itu, Mahasiswa turut diberi peluang untuk bertindak sebagai fasilitator dan pemimpin serta mengasah kemahiran kepimpinan yang diperlukan bagi masa depan negara.

Menurut Timbalan Dekan Kokurikulum, PPUK, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman, penganjuran Program Gerak Wira bukan sahaja memenuhi keperluan akademik Kursus KKB, tetapi juga menjadi instrumen penting dalam melahirkan generasi mahasiswa yang bersatu padu, patriotik dan berdaya saing.

“Melalui aktiviti seperti kawad kaki yang menekankan disiplin serta tanggungjawab, program ini menjadi antara inisiatif utama UTHM untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya dahulu sebagai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Polis Diraja Malaysia.

“Saya bersekolah di kawasan Polis Gerakan Am (PGA) dan majoriti pelajarnya dalam kalangan anak-anak anggota polis.

Semasa di sekolah, kami diwajibkan menjalani latihan kawad kaki setiap minggu bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

“Hasilnya, ia membentuk kami menjadi pelajar yang berdisiplin dan memiliki semangat cinta negara yang tinggi.

“Inspirasi ini menjadi asas kepada usaha saya untuk memperkenalkan program seperti ini di universiti bagi menyemai semangat kenegaraan dan disiplin dalam kalangan mahasiswa UTHM,” jelas beliau.

Pelaksanaan Program Gerak Wira mencerminkan komitmen UTHM dalam menyokong agenda pendidikan tinggi negara serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih bersatu, patriotik dan progresif.

PPUK berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kalangan mahasiswa, menjadikan mereka agen perpaduan dan patriotisme dalam kehidupan bermasyarakat.