Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Amirul Faiz Abdul Latif
Bagi melancarkan proses pengurusan di kolej kediaman, Kluster Hal Ehwal Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Perumahan Pelajar (PRP) telah melancarkan Sub Sistem HOMS pada 14 April 2025 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Sistem HOMS atau nama penuhnya Housing Office Management System yang dibangunkan hasil usahasama PRP dan Pusat Teknologi Maklumat (PTM) bertujuan mewujudkan tadbir urus penginapan yang cekap, berkesan dan dengan kos yang berbaloi.
Selain itu, pengenalan sub sistem HOMS iaitu Online Fault Reporting System (OFRS) dan Off Campus Management System (OCMS) bakal memberikan kesan signifikan terhadap pengurusan kolej kediaman khususnya dalam aspek laporan dan aduan fasiliti, serta pemetaan dan pemantauan Pelajar Tanpa Asrama (PTA).
Melalui pengenalan aplikasi HOMS yang boleh diakses oleh semua pelajar, permohonan kolej kediaman dapat dijalankan dengan lebih teratur dan cekap, selain dapat meminimakan kesalahan dan keciciran maklumat.
Tambahan lagi, dengan kemaskini terbaharu iaitu sistem e-merit yang mengambil kira faktor penglibatan pelajar serta status ekonomi (B40/M40/T20) mereka, sistem itu dapat mengoptimumkan jumlah permohonan dan meningkatkan lagi kapasiti pelajar yang menduduki kolej kediaman.
Sementara itu, melalui pengenalan fungsi Online Fault Reporting System (OFRS) di bawah sub sistem HOMS, pengendalian aduan dan laporan fasiliti penghuni dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan.
Pelajar kini boleh membuat aduan kerosakan secara dalam talian di mana sahaja, manakala masa penyelesaian aduan pula dapat dipendekkan, sekali gus dapat menyediakan fasiliti penginapan yang selesa dan kondusif untuk para penghuni.
Melalui sub sistem itu juga, usaha pemantauan PTA dapat dipertingkatkan melalui pengenalan fungsi Off Campus Management System (OCMS).
Lokasi dan pemetaan lokaliti PTA dapat disemak dengan lebih tepat dan terperinci, selain pemantauan pelajar dapat dilaksanakan secara berkesan khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar.
Menurut Pengarah PRP, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, pengenalan sistem ini adalah sebahagian daripada perancangan Anjakan PRP 2023-2025 yang direncanakan beliau seawal memegang portfolio berkenaan.
“Peluncuran ini dijangkakan bakal mewujudkan ekosistem kolej kediaman yang lebih harmoni, berteraskan teknologi seterusnya membantu mencapai sasaran 70 peratus pelajar menduduki kolej kediaman yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab HEPA, warga kerja PRP dan Kolej-kolej Kediaman UTHM.

