Dalam era digital yang semakin berkembang, kita sering terdedah kepada pelbagai rangsangan daripada media sosial, aplikasi telefon pintar dan notifikasi yang tidak henti-henti. Fenomena ini dikenali sebagai ‘Minda Bertih’ atau ‘Popcorn Brain,’ satu keadaan yang mana seseorang mengalami kesukaran untuk fokus pada tugas akibat pendedahan berlebihan kepada teknologi digital. Istilah ini menggambarkan bagaimana otak manusia menjadi terlalu terangsang, menyebabkan kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada tugasan yang memerlukan pemikiran mendalam.

Minda Bertih merujuk kepada keadaan yang mana otak sentiasa berada dalam keadaan hiperaktif akibat rangsangan digital yang berterusan. Seperti bertih jagung yang meletup tanpa henti dalam kuali panas, otak juga sentiasa dipenuhi dengan maklumat baharu, menyebabkan kesukaran untuk memberi tumpuan kepada satu tugas dalam jangka masa yang panjang. Kecenderungan untuk beralih dari satu kandungan ke kandungan lain tanpa henti menjejaskan keupayaan individu untuk berfikir secara mendalam dan menganalisis maklumat dengan teliti.

Minda Bertih bukanlah satu masalah yang berlaku secara tiba-tiba, tetapi ia berkembang akibat tabiat penggunaan teknologi yang tidak terkawal. Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada fenomena ini iaitu penggunaan media sosial berlebihan. Notifikasi dan maklumat baharu yang muncul setiap saat boleh menyebabkan gangguan tumpuan. Apabila seseorang kerap memeriksa media sosial, otak menjadi terbiasa dengan rangsangan yang berterusan dan sukar untuk bertumpu kepada tugas yang lebih mendalam.Selain itu kebiasaan menukar antara aplikasi atau tugas dengan kerap boleh mengurangkan keupayaan untuk fokus. Sering kali, individu merasa lebih produktif apabila melakukan pelbagai tugas secara serentak, tetapi kajian menunjukkan bahawa multitasking sebenarnya menurunkan kecekapan otak dan menyebabkan keletihan mental.

Ketagihan rangsangan cepat iaitu konten pendek seperti video TikTok dan Reels membuatkan otak terbiasa dengan maklumat segera dan sukar untuk fokus pada bacaan atau tugasan yang memerlukan ketekunan. Kandungan berbentuk visual yang bersifat pantas ini melatih otak untuk mencari kepuasan segera, menjadikan tugas yang memerlukan tumpuan lama kelihatan membosankan. Punca lain juga yang kitab oleh lihat pendedahan berterusan kepada skrin menghalang otak daripada berehat dan memproses maklumat dengan baik. Tanpa rehat yang mencukupi, otak menjadi letih dan daya pemprosesan maklumat semakin merosot.

Fenomena ini mempunyai pelbagai kesan negatif terhadap kehidupan individu, terutama dalam aspek akademik, pekerjaan dan kesejahteraan mental. Antara kesan utama termasuk kesukaran untuk membaca atau menyiapkan tugasan yang memerlukan tumpuan tinggi. Individu cenderung untuk terganggu dengan notifikasi atau keinginan untuk menyemak media sosial semasa bekerja. Keletihan mental iaitu rangsangan berlebihan boleh menyebabkan keletihan kognitif. Apabila otak sentiasa terdedah kepada maklumat baharu tanpa rehat, ia menjadi sukar untuk mengekalkan tenaga dan fokus dalam jangka masa panjang.

Individu yang mengalami Minda Bertih sering berasa gelisah apabila tidak mendapat maklumat atau hiburan dengan segera. Ini boleh membawa kepada masalah seperti ketidakmampuan untuk menyelesaikan tugas yang memerlukan kesabaran dan ketekunan. Keupayaan menyelesaikan tugasan dengan cekap menurun kerana gangguan berterusan dan kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam tempoh yang lama.

Walaupun Minda Bertih menjadi semakin meluas, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya dan mengembalikan keupayaan fokus dan daya pemikiran mendalam. Kita boleh mengambil langkah pencegahan seperti kurangkan masa skrin dan tetapkan had penggunaan media sosial dan skrin digital. Menggunakan aplikasi pemantauan skrin boleh membantu mengawal jumlah masa yang dihabiskan di media sosial dan mengurangkan ketagihan terhadap kandungan digital. Mengamalkan fokus mendalam (deep work) iaitu luangkan masa tanpa gangguan untuk menyiapkan tugasan penting. Menggunakan teknik seperti kaedah Pomodoro (bekerja dalam tempoh tertentu dan berehat seketika) boleh membantu meningkatkan daya tumpuan. Biasakan diri dengan bacaan panjang atau aktiviti yang memerlukan daya tumpuan, seperti menulis jurnal atau menyelesaikan teka-teki. Ini membantu melatih otak untuk bertahan lebih lama dalam tugasan yang kompleks.Antara langkah lain seperti luangkan masa tanpa teknologi dan cuba ambil rehat daripada skrin dengan aktiviti luar seperti bersenam atau berjalan di taman. Kajian menunjukkan bahawa menghabiskan masa di luar rumah dan berinteraksi dengan alam semula jadi boleh membantu mengurangkan stres dan meningkatkan keupayaan kognitif.Akhir sekali fokus kepada satu tugasan dalam satu masa dan elakkan tabiat berulang kali menukar tugas. Ini boleh membantu meningkatkan kecekapan kerja dan mengurangkan keletihan mental.

Minda Bertih adalah fenomena moden yang boleh menjejaskan keupayaan kognitif kita jika tidak dikawal dengan baik. Dengan kesedaran dan langkah yang sesuai, kita boleh melatih semula otak untuk fokus dan meningkatkan keupayaan pemikiran kritis serta produktiviti. Peningkatan kesedaran tentang kesan negatif penggunaan teknologi yang berlebihan amat penting dalam usaha untuk memelihara kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, kita harus mengambil langkah proaktif untuk memastikan keseimbangan dalam penggunaan teknologi dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat demi kesejahteraan mental dan fizikal kita.

 

Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab

Ketua Penyelidik

Center of Intelligent and Autonomous Systems (CIAS)

Jabatan Kejuruteraan Perisian

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita RTM (berita.rtm.gov.my), 19 Mac 2025: Minda bertih, kesukaran fokus akibat rangsangan digital berlebihan 

https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolum/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/minda-bertih-kesukaran-fokus-akibat-rangsangan-digital-berlebihan

 

2. Berita Harian (muka surat: 11), 22 April 2025: Ketagih skrin punca sindroMm `minda bertih’ 

 

3. Berita Harian (bharian.com.my), 22 April 2025: Ketagih skrin punca sindrom `minda bertih’ 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2025/04/1387577/ketagih-skrin-punca-sindrom-minda-bertih