Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin

BATU PAHAT, 25 Mac 2025 – Seramai 40 keluarga asnaf di Kampung Sri Gading, Batu Pahat menerima sumbangan berupa makanan melalui Program Bakul Qaseh yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi FKMP (MechClub), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program itu dilaksanakan bagi menzahirkan keprihatinan fakulti dalam meringankan beban golongan asnaf, sekali gus memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bakul Qaseh itu merupakan hasil sumbangan ikhlas daripada ahli FKMP, dengan kerjasama Yayasan Amal Johor.

Profesor Ts. Dr. Amir Khalid, Dekan FKMP bersama Prof. Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor, Pengarah, Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko; Dr. Kamarul-Azhar Kamarudin, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa; Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Saifulnizan Jamian, Ketua Jabatan Mekanikal; Haji Salleh Farmin, Pengerusi Yayasan Amal Johor dan ahli MechClub telah mengunjungi rumah ke rumah bagi mengagihkan Bakul Qaseh tersebut.

Proses agihan bantuan turut dibantu oleh Ketua Kampung terbabit bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.

Prof. Amir turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua Jawatankuasa Pelaksana Qaseh Ramadan 2025, warga fakulti dan Yayasan Amal Johor atas komitmen yang diberikan.

“Program Bakul Qaseh ini adalah bukti keprihatinan ahli fakulti terhadap masyarakat, dan kami berharap ia dapat membawa kegembiraan kepada golongan asnaf untuk menyambut hari lebaran,” ujar beliau.

Program ini bukan sahaja memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.