
Oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, Prof. Madya Chm. Ts. Dr. Hatijah Basri
PAGOH, 13 Jan 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menjalin kerjasama strategik bersama tiga industri iaitu PMA Rich (M) Sdn. Bhd., Eurofins NM Laboratory Sdn. Bhd., dan Pentas Flora bagi merancakkan lagi bidang penyelidikan berimpak tinggi serta memperkasakan program Work-Based Learning (WBL).
PMA Rich melalui jenama ikoniknya Mokti’s, mempelopori pembangunan usahawan halal dan inovasi dalam industri pemprosesan makanan (aiskrim gula apong), manakala Eurofins NM Laboratory komited terhadap analisis saintifik dalam keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Pentas Flora pula tampil sebagai peneraju dalam pengurusan sisa mampan, yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.
Sebagai permulaan, UTHM telah mengadakan satu majlis ringkas pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama pada 13 Januari 2024 lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Pertukaran dokumen tersebut diwakili Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim bersama Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Hatijah Basri.
Hadir sama, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi bin Abdul Sukor, Dekan Fakulti Kejuruteraan (FTK) dan Dr. Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma (PPD).
UTHM menjalinkan kerjasama bersama tiga industri tersebut setelah FAST menawarkan program Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian, yang dirangka menerusi pendekatan mod industri berasaskan konsep WBL.
Dua program tersebut mencerminkan visi futuristik universiti dalam melahirkan graduan yang dilengkapi bukan sahaja dengan asas teori yang kukuh tetapi juga pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
Melalui program itu, pelajar akan menjalani latihan industri berstruktur selama satu tahun penuh di organisasi terpilih bagi memberikan mereka peluang eksklusif dalam mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di kampus kepada situasi sebenar di persekitaran profesional.
Menurut Dr. Hatijah, melalui pendekatan WBL, pelajar akan memperoleh pengalaman holistik bagi memperkasa kebolehpasaran mereka, membina rangkaian profesional strategik, serta meningkatkan daya saing dalam landskap pekerjaan yang dinamik dan mencabar.
Tambah beliau, program Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dengan Kepujian memberi tumpuan kepada penerapan teknologi dan inovasi dalam sektor perindustrian kimia, manakala Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian menonjolkan peranan teknologi analitik dan pengurusan data besar dalam menghadapi cabaran era digital.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran teknikal dan profesional yang unggul, tetapi juga memupuk daya kreativiti dan pemikiran kritikal yang diperlukan untuk meneroka horizon baharu teknologi dan inovasi.
“Dengan program yang dirangka rapi dan kolaborasi strategik bersama industri, WBL FAST menjadi platform transformasi bagi mencorakkan masa depan graduan yang cemerlang dan mampan.
“Kerjasama bersama tiga industri ini dijangka mampu membuka peluang baharu kepada pelajar untuk mengadaptasi teknologi terkini dan kemahiran profesional dalam persekitaran kerja sebenar,” katanya.
Turut diadakan, sesi Industrial Talk yang melibatkan penyertaan lebih 200 pelajar.
Sesi tersebut dijayakan oleh tiga penceramah berpengalaman iaitu Mohd Saiful Haq Khider dari PMA Rich yang berkongsi inspirasi melalui tajuk “Mokti’s Journey: From Local Startup to Franchise Success – Product and Business Growth,” manakala Soo Wei Lun dari Pentas Flora membincangkan isu kritikal berkaitan “Waste Management and a Sustainable Malaysia” dan Nurulizan Elfikrie dari Eurofins NM Laboratory mengetengahkan pendekatan saintifik melalui “Chemical Health Risk and Mitigation Strategies.”
Sesi itu memberi dimensi baharu kepada para pelajar menyelami cabaran dunia sebenar, memahami pendekatan praktikal dalam penyelesaian masalah, serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian dan keberhasilan industri.