DURIAN TUNGGAL – Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Alif Qusyairi Abd Razak meraih gelaran juara setelah berjaya menewaskan sembilan peserta akhir dalam Pertandingan Intervarsity Young Motivator Competition 2024 (I-MAC 2024) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Auditorium Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka pada 5 Disember lalu.

Kejayaan itu menjadikan UTHM meraih juara buat kali ketiga setelah dua pelajar UTHM sebelum ini iaitu Syafiq Yem bergelar juara pada tahun 2015 dan Nurul Hanan Jaafar pada tahun 2017.

Alif Qusyairi membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2 ribu, berserta trofi dan piala pusingan.

Manakala Naib Johan disandang oleh Nor Adilah Che Abdul Razak dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta trofi dan tempat ketiga pula diraih oleh Iffa Mawaddah Mohd Helme dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang membawa pulang wang tunai RM1 ribu dan trofi.

Seorang lagi peserta UTHM, Tengku Luqman Al Hakim Tengku Munawir juga layak ke peringkat akhir dan berjaya menerima Anugerah Motivator Ideal.

Penganjuran I-MAC 2024 kali ini melibatkan penyertaan seramai 40 peserta dari 20 universiti awam (UA).

Daripada jumlah tersebut, 10 peserta berjaya mara ke pusingan akhir.

Perjalanan kejayaan mereka bermula melalui uji bakat peringkat dalaman UTHM yang dianjurkan oleh Pusat Kaunseling Universiti (PCU).

Pemilihan peserta akhir peringkat UTHM dilakukan oleh beberapa panel iaitu Dr. Noraishah Daud, Dr. Aspalaila Abdullah, Syahrul Nizam Lukman dan Muhammad Khairullah Mohd Shaari.

Bagi memastikan UTHM menghantar peserta yang betul-betul layak, peserta terbabit diwajibkan menghadiri beberapa siri ‘Personal Coaching’ yang dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Psikologi PCU.

Selain daripada itu mereka turut diberikan pendedahan ilmu berkaitan ‘Personal Grooming’ dan Keyakinan Diri oleh Alumni UTHM, Jefri Saari selaku penceramah.

Untuk rekod, I-MAC merupakan program tahunan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) dan pada tahun ini UTeM telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah.

Program itu diadakan bertujuan untuk melahirkan pelapis-pelapis motivator dalam kalangan mahasiswa UA yang boleh menjadi pembimbing dan ikon kepada pelajar, sekali gus melatih mahasiswa supaya lebih berkeyakinan dalam memotivasikan individu.

Pertandingan itu mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan pada ketika itu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih sebagai penganjur.

Alif Qusyairi yang mempertaruhkan tajuk ‘Pemikiran Positif Bak Air Yang Mengalir’ menganggap pertandingan seumpama ini memberinya ruang dan peluang untuk mengasah kebolehannya dalam bidang motivasi.

“Saya amat bersyukur mempunyai sistem sokongan yang sangat membantu iaitu ibu, bapa dan adik beradik saya, Pusat Kaunseling UTHM, pensyarah dan kawan-kawan universiti yang sentiasa ada bersama.

“Berpegang kepada prinsip We learn from what people shared, and we share what we learn, saya cuba berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan saya betul-betul bersedia menyertai pertandingan ini,” katanya.

 

Alif Qusyairi Abd Razak (Johan)
Tengku Luqman Tengku Munawir (Anugerah Motivator Ideal)
Barisan Finalist I-MAC 2024