Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 12 Dis 2024 – Kehilangan ayah sejak diploma telah membuatkan Ilya Suhaida Mohamed Jumaiedy, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian lebih berdikari sepanjang beliau belajar di universiti ini.

Bermula dengan menjual kuih di musim perayaan, Ilya selepas itu cuba menceburi bidang baharu iaitu sebagai content creator. 

Walaupun hanya hobi masa lapang, beliau mengakui pendapatan sebagai content creator sangat membantu beliau dalam menguruskan perbelanjaan sepanjang pengajian di sini. 

Selain tidak mahu membebankan ibu, Ilya juga turut membantu ibunya untuk membesarkan adik-beradik yang lain  hasil pendapatan sampingan yang diperoleh. 

Mengakui pelajaran sangat penting, Ilya menceritakan hanya mengambil tawaran kerja jika mempunyai masa lapang bagi mengimbangi bidang akademik dan kerjayanya. 

Tambah Ilya, antara cabaran yang perlu dihadapinya sebagai content creator adalah perlu kerap berulang alik antara Kuala Lumpur dan Batu Pahat. 

“Terpaksa ulang alik memang memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tenaga untuk memenuhi keperluan pelanggan yang bukan sahaja dari dalam negara malah luar negara,” tambahnya.

Walaupun sibuk dengan aktiviti pembelajaran dan kerjaya sampingan, Ilya juga masih berkesempatan menyertai Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) UTHM sehingga melayakkan dirinya menerima Sijil Pentauliahan Inspektor Siskor Penjara.

Ilya yang kini bekerja sebagai seorang Jurutera Rekabentuk di Ampang masih meneruskan kerjaya sampingannya tetapi tetap meletakkan bidang kejuruteraan sebagai kerjaya utama kerana baginya bidang itu lebih menjamin masa hadapan.