Oleh Norzila Roslin, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 9 Dis 2024 – “Ucapan terima kasih tak terhingga pada ahli keluarga dan majikan saya yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan ketika mengalami kecederaan kaki pada tahun akhir pengajian.
“Bukan mudah untuk membuat keputusan ketika ditimpa kecederaan dan berehat dalam tempoh yang lama bagi mengikuti sesi rawatan dan fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Ayer Keroh, Melaka,” luah Mohamad Shafie Taib,44 graduan berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Bapa kepada tiga anak yang telah melanjutkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal pada Konvokesyen ke-24 UTHM.
“Tahun 2023 merupakan ujian terbesar saya dalam tempoh pengajian yang hampir sahaja membuatkan diri berputus asa dan terfikir untuk menangguhkan pengajian.
“Terlantar di Pusat Rehabilitasi PERKESO Melaka selama hampir empat bulan menyedarkan diri bahawa ramai lagi yang kurang bernasib baik daripada saya sehingga ada antaranya kehilangan anggota badan.
“Walau bagaimanapun, semangat yang ditunjukkan mereka untuk menjadi lebih baik membuatkan diri saya rasa kerdil dan malu,” katanya.
Namun begitu, beliau yang berasal dari Melaka itu rasa beruntung kerana sentiasa mendapat semangat dan dorongan ahli keluarga yang membuatkan beliau terus nekad untuk habiskan pengajian tahun akhir walaupun serba kekurangan.
“Saya berterima kasih kepada Penyelia dan Pembantu Penyelia yang banyak memberi idea dan sokongan bagi menyelesaikan pengajian walaupun berada jauh di Melaka.
“Saya berharap segala ilmu yang dipelajari dapat disampaikan kepada generasi muda dan masyarakat untuk memastikan bandar dan kampung yang didiami berdaya huni dan lebih mampan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Unit Bandar Pintar, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Melaka.