Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 7 Dis 2024 – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM telah menyampaikan anugerah Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim ketika berlangsungnya Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UTHM ke-24 yang diadakan pada 7 Disember 2024.
UTHM menganugerahkan gelaran tersebut bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.
Graduan ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan awam dan struktur dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mempunyai pengalaman hampir empat dekad dalam pengajaran kejuruteraan dan pentadbiran akademik.
Anak kelahiran Kampung Sebatu, Melaka itu juga telah berjaya menyelia ramai pelajar pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan awam di peringkat Master dan PhD, selain turut dilantik sebagai pemeriksa luar dan dalam bagi peperiksaan lisan (viva voce) pelajar penyelidikan dan pengucaptama bagi pelbagai persidangan bertaraf antarabangsa.
Selain penerbitan artikel jurnal, kertas persidangan dan buku, beliau turut bergiat aktif sebagai ahli pasukan dalam penghasilan reka cipta, inovasi dan paten.
Selain itu, beliau turut menjadi rujukan penyelidik dalam dan luar UTHM berkaitan kepakaran beliau dalam bidang geo-persekitaran.
Ahmad Tarmizi juga mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan universiti antaranya pernah memegang jawatan pengurusan utama seperti Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Alam Bina (FKAAB), Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT) dan Penolong Naib Canselor (Komunikasi Korporat dan Perancangan Strategik), sekali gus menandakan penglibatan beliau yang berterusan dalam memajukan institusi.
Keterlibatannya dan sayangnya kepada organisasi serta cakna dalam aspek akademik dan pembangunan universiti, telah membawa beliau ke satu tahap yang lebih mencabar.
Kepakaran Ahmad Tarmizi semakin terserlah semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Harta Bina, UTHM apabila beliau telah menguruskan 18 projek pembangunan fizikal di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 – 2010) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011 – 2015) yang menelan belanja kira-kira RM175 juta.
Beberapa bangunan mercu tanda yang diuruskan beliau termasuklah masjid dan Pusat Islam UTHM, Dewan Konvokesyen dan Serba guna, bangunan Pentadbiran Pusat Sukan, Kolam Renang, bangunan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Bangunan Serbaguna.
Lebih mengagumkan, pada tahun 2010, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor melantik beliau sebagai anggota Pasukan Petugas hab Pendidikan Pagoh (PEH) untuk membantu dan menasihati Bahagian Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi.
Ketokohan dan kepakaran Ahmad Tarmizi boleh dilihat melalui pencapaian yang telah diraih oleh beliau.
Sepanjang perkhidmatan beliau di UTHM, Ahmad Tarmizi telah mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera pada tahun 1993 dan turut menyertai Institusi Jurutera Malaysia pada tahun berikutnya.
Beliau juga mendaftar sebagai Teknologis Siswazah dan diiktiraf sebagai Teknologis Profesional dalam bidang Teknologi Pembinaan dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) pada 2019.
Selain itu, beliau merupakan Penaung Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) UTHM dan dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Penjara (ACP) oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau telah dianugerahkan Pingat Ketua Pesuruhjaya oleh Pesuruhjaya Jeneral Jabatan Penjara (Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia) pada tahun 2018.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohamed Yassin pada ketika itu telah melantik Ahmad Tarmizi sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat bagi tahun 2019-2020.
Ahmad Tarmizi sangat berpegang teguh kepada prinsip integriti dalam hidupnya dan tidak pernah terlibat dalam aktiviti yang melanggar etika meskipun terlibat dengan pihak luar dan konglomerat dalam pembangunan universiti.
Setelah bertahun-tahun bekerja keras dan menyumbang kepada bidang pendidikan tinggi, beliau bersara sebagai Profesor (VK6) pada Jun 2021, setelah mendedikasikan 35 tahun perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan UTHM.
Walaupun telah bersara, beliau dilantik semula sebagai Pensyarah Sanjung (kontrak) di FKAAB selama dua tahun, dari 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2023.
Kini, meskipun telah bersara wajib, Ahmad Tarmizi masih gigih menyumbang melalui khidmat nasihat, kepakaran dan pengalaman selagi kudrat mengizinkan.