Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 7 Dis 2024 – Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad, 25 graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) Dengan Kepujian dan Chris Ng, 25 graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian telah terpilih menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) ketika berlangsungnya Sidang Pertama, Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-24.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM.

Menurut Husna, beliau menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan keputusan akademiknya sentiasa cemerlang, selain turut bergiat aktif menyertai pelbagai program universiti.

Berpegang kepada prinsip ‘Fly high, the sky is the limit,’ Husna berjaya mencapai keputusan yang cemerlang sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti.

“Saya bersyukur tahun ini saya mencipta sejarah sekali lagi dengan memperoleh anugerah ini dan juga Anugerah Naib Canselor. 

“Manakala semasa pengajian diploma di UTHM, saya berjaya bergraduasi dengan menerima Anugerah Tan Sri Dato Paduka Hajjah Aishah Ghani dan juga Anugerah Naib Canselor,” katanya.

Husna cuba mengaktifkan diri sejak tahun pertama ijazah dengan menyandang beberapa jawatan antaranya Timbalan Presiden Kelab Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Naib Yang Dipertua Hal Ehwal Pagoh, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2021/2022 dan Pengarah Minggu Haluan Siswa Ijazah Sarjana Muda Ambilan Oktober 2022.

“Lantikan jawatan seumpama itu banyak mengajar saya untuk mengendali dan menguruskan program-program pelajar antaranya melaksanakan program mobiliti antarabangsa ke Seoul, Korea Selatan yang merupakan program terbesar pernah saya kendalikan,” katanya.

Husna juga sangat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa, rakan-rakan, para pensyarah dan pegawai yang banyak memberi sokongan dan dorongan terhadap perjuangannya menuntut ilmu.

“Saya percaya bahawa pengalaman dan kemahiran yang saya peroleh dari UTHM sangatlah berguna untuk masa depan saya.

“Perkara ini dapat dibuktikan apabila saya ditawarkan untuk bekerja sebagai Jurutera di BBraun Medical Industries selepas tamat latihan industri,” katanya.

Beliau sempat menitipkan pesanan kepada semua mahasiswa di luar sana untuk bergiat aktif dalam bidang kokurikulum supaya dapat meningkatkan lagi nilai tambah dalam diri, kerana ia sangat memberi manfaat ketika berada di alam pekerjaan.

Sementara tu, Chris Ng pula berkata sepanjang pengajian di UTHM, beliau selalu mencabar diri untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum bagi meningkatkan lagi kemahiran insaniah yang ada.

Graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina itu amat berterima kasih kepada universiti dan pensyarah yang telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk memperkukuh lagi ilmu akademik dan kemahiran insaniah. 

“Ceramah, bengkel dan pertandingan yang dianjurkan oleh universiti menjadi platform penting dalam perjalanan pembelajaran saya.

“Salah satu kenangan paling bermakna ialah saya berpeluang meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan dengan meraih kemenangan ketika menyertai pertandingan antarabangsa di Surakarta, Indonesia,” katanya.

Berpegang kepada prinsip ‘work hard, play hard,’ Chris turut aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, antaranya dengan menggalas tanggungjawab sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan memegang jawatan penting dalam Institution of Engineers, Malaysia (IEM). 

“Salah satu pengalaman yang paling saya hargai ialah ketika diberi peluang untuk menerajui satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama sebuah syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pasir Gudang. 

“Aktiviti ini membuka ruang untuk saya mempelajari selok-belok pengurusan acara dan membina kemahiran kerjasama berpasukan, sekali gus membantu saya menguasai kemahiran menguruskan masa, meningkatkan fokus semasa kuliah dan menyiapkan tugasan dengan baik,” katanya.

Chris turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa dan rakan-rakan terdekat yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang pengajian.

“Terima kasih kepada ibu dan bapa yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam setiap langkah perjalanan saya walaupun mereka tidak begitu memahami tentang kehidupan di universiti.

“Buat rakan-rakan pelajar, manfaatkanlah sepenuhnya peluang belajar di universiti, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti, pertandingan dan program yang mampu menambahkan lagi pengalaman berharga anda,” katanya. 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 7 Disember 2024: JADUAL PADAT TIDAK HALANG RAIH ANUGERAH

JADUAL PADAT TIDAK HALANG RAIH ANUGERAH

 

2. Sinar Harian (sinarharian.com.my), 7 Disember 2024: Belajar sambil bekerja tidak halang graduan UTHM dapat keputusan cemerlang

https://www.sinarharian.com.my/article/701019/edisi/johor/belajar-sambil-bekerja-tidak-halang-graduan-uthm-dapat-keputusan-cemerlang

 

3 Bernama (bernama.com), 7 Disember 2024: BELAJAR SAMBIL BEKERJA TIDAK HALANG GRADUAN UTHM DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2372109

 

4. Bernama (bernama.com), 7 December 2024: FROM SALES ASSISTANT TO TOP GRADUATE: UTHM STUDENT’S INSPIRING JOURNEY

https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=2372119

 

5. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 7 Disember 2024: Belajar sambil bekerja tidak halang graduan UTHM rangkul Anugerah Pelajaran Diraja

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/belajar-sambil-bekerja-tidak-halang-graduan-uthm-rangkul-anugerah-pelajaran-diraja

 

6. Remaja (remaja.my), 10 Disember 2024: Buat Kerja ‘Part Time’ Tidak Halang Graduan UTHM Ini Raih Anugerah Pelajaran Diraja

https://www.remaja.my/buat-kerja-part-time-tidak-halang-graduan-uthm-ini-raih-anugerah-pelajaran-diraja/