Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Mahu buktikan pelajar B40 yang berlatarbelakangkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga boleh cemerlang, akhirnya Fadlin Afina Suhaimi, 25 graduan Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian telah terpilih sebagai penerima Anugerah Sultan Ibrahim.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM ketika berlangsungnya Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-24 yang berlangsung pada 7 Disember.  

Kisah perjalanan pengajiannya bermula dengan menyambung pengajian program Diploma Seni Kulinari sebelum berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.  

“Meskipun kedua-dua bidang yang saya pilih berbeza, namun saya bersyukur mampu menamatkan pengajian dengan baik dan lancar.  

“Saya benar-benar ingin membuktikan bahawa berasal daripada keluarga B40 dan berlatarbelakangkan bidang TVET sejak awal bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah,” katanya.  

Fadlin Afina turut menekankan kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sejak tahun pertama pengajian sebagai usaha untuk memperkukuh kemahiran insaniah.  

Berpegang kepada prinsip Go Beyond Classroom, beliau aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, termasuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan memegang jawatan penting dalam Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC) UTHM serta Mahasiswa Anak Jati Johor.  

“Sepanjang pengajian, saya pernah diberi peluang menguruskan program di peringkat kebangsaan seperti Pertandingan Debat dan Pidato Piala Menteri Besar Johor yang dikelola oleh Institut Dato’ Onn (IDO) dan Sekretariat Rukun Negara UTHM. 

“Bermula daripada program tersebut, saya terus bergiat aktif dalam program anjuran kerajaan negeri Johor melalui IDO seperti VERSA Leadership Bootcamp dan Johor International Youth Conference (JIYC),” jelasnya.  

Penglibatan dalam pelbagai program telah membantu Fadlin Afina mendalami kemahiran dalam komunikasi, pengurusan acara, bekerja secara berpasukan serta pengurusan masa.

Kejayaan dan penglibatan aktif beliau turut mendapat pengiktirafan apabila namanya tercalon dalam Anugerah Ikon Siswa Johor bagi kategori Akademik pada tahun 2023.    

Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan itu juga turut menzahirkan penghargaan beliau kepada ibu bapa dan universiti, khususnya Bahagian Kebajikan Pelajar yang sentiasa memberikan sokongan kepada pelajar khususnya golongan B40 sepertinya.  

“Pihak kebajikan universiti sentiasa membantu pelajar yang memerlukan dan pastinya setiap bantuan yang diberikan amat bermakna serta membolehkan saya bertahan sehingga tamat pengajian.

“Disebabkan itu, sejak dari awal lagi saya berhasrat menjadi wakil pelajar yang dapat memastikan tiada rakan lain yang ketinggalan atau terpaksa berhenti belajar akibat kesempitan hidup,” katanya.  

Fadlin turut menyeru rakan-rakan pelajar agar terus berusaha memperluas rangkaian hubungan (networking) bagi membantu menambah nilai dalam diri sendiri.

“Networking bukanlah sesuatu yang boleh dibeli tetapi boleh dicari, manfaatkan peluang menyertai atau menganjurkan pelbagai program untuk melebarkan sayap demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.