Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 12 Dis 2024 – Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-24 sekali lagi mencatat sejarah apabila menyaksikan tiga graduan yang meninggal dunia diiktiraf sebagai penerima Anugerah Anumerta.
Tiga graduan tersebut iaitu Allahyarham Mohd Rafiq Mujilan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi; Allahyarham Wan Mohamad Zarin Naif Wan Mohamad Nizam, Pusat Pengajian Diploma dan Allahyarham Aiman Kamila Mohamad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan.
Tiga nama graduan tersebut diwakili oleh waris masing-masing bagi menerima sijil yang diadakan mengikut sidang semasa berlangsungnya istiadat konvokesyen yang bermula pada 7 hingga 12 Disember.
Untuk rekod, arwah Mohd Rafiq meninggal dunia pada 26 Jun 2024 akibat pendarahan otak, manakala arwah Mohamad Zarin meninggal pada 6 Februari 2024 akibat kemalangan jalan raya dan arwah Aiman pula meninggal pada 21 November 2023 akibat tumor otak.
Ketika ditanya kepada para waris yang hadir, mereka reda dengan kehilangan tersebut cuma tidak mampu menahan sebak ketika menerima sijil dan melihat nama anak yang tertera.
“Ketika ibu bapa lain gembira menyambut kejayaan anak mereka menamatkan pengajian, kami terpaksa menguatkan hati menerima Anugerah Anumerta anak pada istiadat konvokesyen hari ini,” kata salah seorang waris yang ditemui.
Sementara itu, sidang istiadat turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang Smitcher anak Spencer, Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang juga telah kembali kepada Pencipta-Nya.