Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 10 Dis 2024 – Nurhafiza Roslan, pemegang ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan menganggap perjalanan pembelajaran setiap graduan mampu membentuk keperibadian mereka.
Bagi anak yatim piatu itu, cabaran yang dilaluinya agak perit sehingga hampir berputus asa dalam perjuangan untuk menggapai segulung ijazah.
Segalanya bermula pada 2021 apabila gelombang kedua Covid-19 melanda negara menyebabkan dia kehilangan kedua orang tuanya.
Lebih memeritkan kedua-dua mereka pergi menghadap Ilahi hanya selang dua hari.
Mengimbau kembali saat itu, dia berkata kehilangan orang tersayang akibat Covid-19 adalah sesuatu yang amat meruntun hati kerana tiada lawatan ke hospital dibenarkan dan jenazah juga tidak dapat diuruskan oleh waris pada ketika itu.
Hidupnya berubah menjadi gelap kerana hilang tempat bergantung secara tiba-tiba dan dalam keadaan yang tidak bersedia.
Sebagai anak sulung, tanggungjawab terhadap tiga adiknya sudah tentu jatuh ke atas bahu Nurhafiza menyebabkan dia pernah terfikir untuk tidak meneruskan pengajian bagi menyara mereka yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, berkat sokongan daripada saudara-mara, rakan-rakan, para pensyarah, jiran dan pihak zakat UTHM sendiri, saya memilih untuk terus melanjutkan pelajaran.
“Saya turut melakukan kerja sambilan di Koperasi UTHM dan menjual kerepek di kolej untuk menambah pendapatan,” ujarnya.
Dengan keyakinan dan keazaman yang tinggi, Nurhafiza akhirnya berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama dan menerima Anugerah Naib Canselor.
Terkini, dia telah memulakan kerjaya baharunya di sebuah syarikat terkemuka di Damansara Perdana.
Nurhafiza menyeru kepada semua mahasiswa untuk terus melangkah walaupun perit dan berilah fokus kepada insan-insan yang bergantung kepada kita.
“Jangan sia-siakan pengorbanan orang sekeliling yang ingin melihat kita berjaya kerana mereka membantu bukan kerana mereka kaya, tetapi kerana mahu kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.