Oleh Norain Azal, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 10 Dis 2024 – Berbekalkan semangat juang yang tinggi dan dorongan daripada keluarga, graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nor Farhanis Zaidi, 32 penghidap kanser thymoma tahap empat berjaya menamatkan pengajian sekali gus menggenggam segulung ijazah sarjana.
Pada mulanya, Nor Farhanis yang mengikuti pengajian Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional itu mengalami kesukaran bernafas menyebabkan beliau perlu ditidurkan selama 12 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Hasil ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mengesahkan terdapat ketumbuhan pada bahagian hadapan jantung dan didiagnosis menghidap penyakit ‘Mysthenia Gravis with Thymoma.’
Nor Farhanis mengakui berdepan detik sukar untuk menamatkan pengajiannya apabila didiagnosis pula menghidap kanser Thymoma tahap empat dan perlu bergelut menjalani rawatan serta pembedahan.
Pada masa yang sama beliau perlu menyiapkan penyelidikan bagi melengkapkan pengajiannya.
Walaupun begitu, Nor Farhanis banyak mengulang kaji pelajaran sewaktu menjalani proses rawatan kesihatan agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Berkat sokongan keluarga yang memberi galakan untuk menamatkan pengajian, saya teruskan juga walaupun mempunyai kekangan masa.
“Ketika menjalani tempoh kemoterapi pula, saya cepat berasa penat dan menjadi pelupa, namun saya amat bersyukur berkat kesabaran dan usaha keras tersebut membuahkan hasil apabila berjaya juga menerima ijazah sarjana ini,” katanya.
Setelah menerima rawatan kemoterapi sebanyak enam kali, radioterapi sebanyak 30 kali dan rawatan susulan kanser pada setiap enam bulan sekali, Nor Farhanis kini semakin sihat dan dapat meneruskan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1, Kluang.