Oleh Norain Azal, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 9 Dis 2024 – Pengorbanan ayah yang bekerja sebagai tukang kasut bagi menyara keluarga, menyuntik semangat Nur Afika Idris, 24 untuk belajar dengan tekun dan gigih sehingga berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.
Selain itu, Nur Afika turut menerima Anugerah Naib Canselor serta Anugerah Wakaf dan Endowmen pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-24.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Multimedia Kreatif), kegigihan ayahnya, Idris Maulan, 65 membaiki kasut-kasut lusuh pelanggan di kaki lima, bekerja keras siang dan malam tanpa mengira cuaca panas terik atau hujan lebat, memberi kesedaran kepadanya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Bagi membantu menyara keluarga, ibunya Marmah Basir, 65 pula turut menjahit baju secara sambilan.
“Sebagai anak sudah tentu hati akan tersentuh dan mudah mengalirkan air mata apabila mengenang kembali pengorbanan dan jasa mereka.
“Kecekalan mereka menjadi inspirasi terbesar dalam hidup dan membakar semangat saya untuk berjaya,” katanya.
Tambah Nur Afika, walaupun tidak memiliki pendidikan yang tinggi dan bekerja sebagai tukang kasut sepenuh masa, ayahnya tidak pernah jemu memberi dorongan sekali gus menjadi sumber kekuatan buat dirinya sehingga memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester.
“Saya masih ingat lagi, walaupun semakin uzur dan kesihatan mereka kadangkala membimbangkan, ayah masih kuat bekerja untuk membayar yuran pengajian sebelum saya berjaya mendapatkan pinjaman PTPTN.
“Ibu pula sering menasihatkan saya untuk fokus belajar bermula tahun pertama lagi supaya impian untuk bergelar graduan terbaik akan tercapai,” katanya.
Nur Afika berterima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat yang telah memberi biasiswa kepadanya selepas itu.
Anak kelima dari enam beradik itu berkata, dia bersyukur dan menganggap anugerah yang diterimanya itu adalah kejayaan kedua ibu bapanya yang tidak pernah jemu memberi semangat kepada beliau.
Katanya, walaupun dilahirkan dari keluarga kurang kemampuan, Nur Afika sangat bersyukur kerana sentiasa terdorong untuk berusaha lebih keras bagi mencapai matlamatnya.
“Semoga kepayahan hidup kami ini akan berubah dan saya yakin dengan pendidikan sahaja dapat mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas sidang pertama istiadat konvokesyen yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 34), 9 Disember 2024: Anak tukang kasut tekad ubah kehidupan
2. Utusan (utusan.com.my), 9 Disember 2024: Anak tukang kasut tekad ubah kehidupan
3. Remaja (remaja.my), 10 Disember 2024: Pengorbanan Bapa Sebagai Tukang Kasut Jadi Inspirasi Graduan Ini Raih Ijazah Kelas Pertama UTHM!