Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 11 Dis 2024 – Berbekalkan minat yang mendalam, Nurzarinah Zakaria, atlet mendayung negara akhirnya menerima Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat setelah bertungkus lumus membahagi masa antara pelajaran, sukan dan kerjaya.
Pada Istiadat Konvokesyen UTHM ke-24, Nurzarinah bukan sahaja meraikan kejayaannya dalam bidang akademik, tetapi turut berkongsi tentang perjalanan pembelajarannya yang penuh disiplin dan gigih.
Menurut Nurzarinah, minat dan cita-citanya lebih kepada bidang teknologi, namun ia tidak menenggelamkan rasa cinta terhadap sukan rowing yang diceburi sejak 2015.
“Walaupun saya pernah gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris, sukan rowing telah membentuk diri menjadi seorang yang berdisiplin dan lebih bijak dalam menguruskan masa,” katanya.
Kini beliau sedang meneruskan pengajian di peringkat PhD dan turut bekerja sebagai pengaturcara komputer secara sambilan untuk menyokong minatnya dalam bidang teknologi, sekali gus membantu membiayai kehidupannnya sebagai seorang pelajar.
“Membahagikan masa antara latihan sukan, pelajaran dan kerja bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan disiplin dan sokongan orang sekeliling, saya yakin mampu mengurusnya.
“Setiap hari saya perlu atur masa supaya latihan sukan, kajian akademik dan tuntutan kerja dapat diseimbangkan dengan baik,” tambahnya.
Nurzarinah mengakui bahawa setiap cabaran yang dihadapi telah membentuk ketahanan mental dan rasa syukur yang mendalam dalam diri.
“Dalam sukan, saya belajar untuk memupuk daya tahan dan fokus, dan ini turut memberi kesan positif dalam pelajaran serta kerjaya saya.
“Saya bersyukur kerana keluarga, rakan-rakan dan pensyarah sentiasa memberi dorongan sepanjang perjalanan ini,” tambahnya.
Nurzarinah berharap perjuangannya untuk meraih kejayaan dapat memberi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita tinggi dalam pelbagai bidang.
“Kejayaan mungkin memerlukan masa dan pengorbanan, tetapi dengan usaha yang berterusan, kita boleh merealisasikan setiap impian,” ujarnya.
Kejayaan Nurzarinah dalam mencapai keseimbangan antara tuntutan sebagai atlet berprestasi tinggi dan pelajar turut membuktikan bahawa komitmen serta usaha gigih yang berterusan mampu membuahkan hasil yang membanggakan.